FOTO Roslin Mat Tahir
Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Hari Keputeraan ke-70 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Tujuh puluh lima penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor dengan diketuai Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamallullail yang dianugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DKII).

Ahli Dewan di-Raja Selangor yang juga Orang Besar Istana, Tengku Datuk Paduka Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datuk Setia.

Turut menerima SSIS adalah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Zawawi Salleh serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Sementara itu, lapan tokoh dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk.

Sepuluh individu lain dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 11:40 AM