Isu wanita berhutang dengan Along dan meminta bantuan PPIM yang disiarkan di FB. - Foto Facebook
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengakui mengenakan caj bagi kos kos pengurusan yang dipersetujui pengadu bagi menyelesaikan kes hutang dengan along namun biasanya hutang yang perlu dibayar itu jauh lebih rendah berbanding jumlah dituntut along.

Aktivis Kanan PPIM, Muhammad Zharif Johor berkata, tidak timbul soal caj kerana ia sudah dimaklumkan ketika pengadu membuat aduan kepada PPIM dan pihaknya tidak pernah memaksa sesiapa untuk menerima perkhidmatan yang digerakkan melalui unit tindakan khas persatuan itu.

Beliau berkata demikian mengulas isu itu yang diviralkan di Facebook mengenai seorang wanita mendakwa dipaksa menjadi pelacur jika gagal menjelaskan hutang berjumlah RM19,000 dan dikenakan caj tertentu selepas berurusan dengan PPIM.

“Sebagai contoh, merujuk kes itu, tuntutan along kepada wanita berkenaan berjumlah RM19,000 tetapi pengadu hanya perlu membayar RM5,600 termasuk RM2,600 sebagai caj pengurusan PPIM seperti kos perbincangan, pengangkutan dan lain-lain.

“Jumlah itu adalah wajar dan jumlah yang perlu dibayar pengadu hanya kira-kira 30 peratus daripada jumlah hutang,” katanya.

PPIM sudah berhubung dengan pemilik akaun Facebook Amran Fans bagi memberi penjelasan mengenai isu berkenaan dan Muhammad Zharif menegaskan PPIM tidak berniat menganiaya sesiapa namun setiap urusan seperti itu memerlukan kos untuk diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 4:31 PM