Oleh Syafil Syazwan Jefri


Pada usia 18 tahun, penyanyi kelahiran Chelsea, London, Harris J kini berjaya menakluk beberapa negara menerusi single hit Salam Alaikum, termasuk di corong radio Malaysia.

Disebabkan imej dan vokalnya, ramai menganggap Harris adalah klon kepada Justin Bieber dan penyanyi berdarah kacukan India dan Ireland itu menerimanya sebagai pujian.

“Ada beberapa komen yang saya dengar mengenai perkara itu dan saya menerimanya sebagai pujian kerana Bieber adalah seorang penyanyi yang berjaya. Muziknya menjadi fenomena dan diterima di seluruh dunia. Muzik kami berbeza dari segi melodi dan mesej tetapi kalau disamakan dengan nama besar sepertinya, saya terima,” kata Harris yang ditemui baru-baru ini.

Menawarkan muzik pop dengan mesej ketuhanan, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Awakening Talent Contest (Awakening) ini hadir ke negara ini dengan menyajikan lagu dakwah alternatif untuk remaja.

“Walaupun lagu saya dalam bentuk pop dan bukannya nasyid, apa yang paling utama mesej dalam setiap lagu. Dengan adanya muzik berentak pop sebegini, sedikit sebanyak saya dapat menarik minat remaja untuk menerima dakwah dan mereka ada alternatif, contohnya selain mendengar lagu Justin Bieber dan One Direction,” kata Harris.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 5:00 AM