NAJIHAH menjadi jurucakap Butik Werda di bawah pengurusan Rumah Pengasih Warga Prihatin.
MURABBI dan murabbiah bersama murid Akademi Insan Prihatin.
DR Intan mengajar murid tahun satu.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Rela meninggalkan kerjaya yang baik, pendapatan lumayan dan kemewahan hidup semata-mata ingin menjadi sukarelawan sepenuh masa di sebuah pertubuhan kebajikan demi membantu anak yang tidak mempunyai pertalian darah.

Pasti tidak ramai sanggup mengambil tindakan seperti itu kecuali mereka yang benar-benar ikhlas dan sanggup mengharungi sebarang kemungkinan saja mampu melakukannya tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Itu yang dilakukan tiga sukarelawan dari Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di Sungai Merab, Kajang dan mereka bukan calang-calang kerana masing-masing mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang.

Dr Intan Salwani Ahmadi, 38, adalah pemegang doktor falsafah (PhD) kejuruteraan kimia dari Universiti Cambrige di United Kingdom, Najihah Amirudin, 27, pemegang ijazah kelas pertama dalam bidang penyiaran dan penerima Anugerah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA), sementara Shauqi Hasan, 34, pula pemegang Ijazah Sarjana Muda Siasah Syariah dari Universiti Malaya.

Malah Dr Intan Salwani yang juga bekas pensyarah Unversiti Putra Malaysia (UPM) , kini menjadi murabbiah (pembimbing) di Akademi Insan Prihatin (AIP) RPWP sementara Najihah sebagai seorang daripada pengasas butik Werda dan Shauqi pula bergelar pengetua AIP yang sebelum ini bertugas sebagai panel syariah di sebuah syarikat antarabangsa.

Baru-baru ini penulis berpeluang bertemu tiga insan hebat itu untuk berkongsi pengalaman dan mencungkil faktor yang membuka pintu hati mereka untuk menjadi sukarelawan sepenuh masa tanpa gaji. Terbit rasa kagum yang sukar penulis ungkapkan dengan kata.

Lebih membanggakan apabila sukarelawan itu turut mewakafkan semua harta milik mereka kepada RPWP untuk pembangunan pertubuhan terbabit.

Dr Intan Salwani berkata, beliau mengenali RPWP sejak mendirikan rumah tangga bersama salah seorang pengasas pertubuhan berkenaan pada 2007 dan pada masa itu hanya terbabit secara sambilan iaitu waktu malam atau hujung minggu.

“Saya menjadi sukarelawan sepenuh masa selepas meletak jawatan sebagai pensyarah UPM setahun lalu dan gembira dapat mendidik kanak-kanak di sini yang rapat bagaikan satu keluarga.

“Anak-anak (pelajar) diajar mengikut kecenderungan mereka sama ada akademik atau kemahiran dan peranan murabbiah akan bantu membentuk mereka hingga berjaya,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia bangga AIP menggunakan modul pengajaran akademik dan kemahiran selain mampu melahirkan pelajar yang berdikari dan berakhlak,” katanya.

Beliau berkata sebahagian mereka ‘rendering’ (didedahkan) dengan akademik dan melanjutkan pendidikan di institut pengajian tinggi tempatan dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat (IT), bahasa, bioperubatan, perubatan dan kesihatan.

“Selebihnya menjurus ke arah keusahawanan dan kerja berkemahiran tinggi serta meneruskan perjuangan bapa dan ibu untuk membangunkan RPWP,” katanya.

Menurutnya, RPWP umpama sebuah universiti kehidupan kerana peranannya tidak semata-mata mendidik kanak-kanak berjaya dalam akademik, tapi juga dalam kehidupan iaitu mempunyai akhlak yang baik, boleh membimbing dan memimpin.

Bagi Najihah pula, dia tidak pernah menyesal melupakan impiannya melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dan menjadi pensyarah seperti yang diimpikan sebelum ini.

“Apabila menjadi sukarelawan cita-cita itu tidak tercapai dan gembira dengan keputusan yang diambil empat tahun lalu (jadi sukarelawan).

“Walaupun tidak mempunyai gaji tapi dapat menjalani kehidupan seperti orang lain kerana RPWP menyediakan keperluan asas untuk semua sukarelawan. Kami makan, minum apa yang anak RPWP makan dan minum serta tinggal di tempat yang disediakan RPWP,” katanya.

Najihah berkata, beliau tertarik menjadi sukarelawan selepas mengikuti suaminya yang juga sukarelawan ke rumah berkenaan yang sangat menerapkan nilai kekeluargaan dan keagamaan dalam kehidupan.

Malah beliau berharap RPWP menjadi pusat rujukan utama di Malaysia kerana hari ini ramai yang mempunyai pelbagai permasalahan dan ia boleh dirujuk di situ.

Sementara itu Shauqi berkata, beliau tidak berasa kekok menggalas tanggungjawab menjadi bapa dan sukarelawan kepada 250 warga di RPWP berbanding sebelum ini hanya sebagai bapa kepada tiga cahaya matanya.

“Saya rasa bahagia dengan apa yang dilakukan sejak tiga tahun lalu sebagai sukarelawan sepenuh masa.

“Pada masa sama saya mahu bersama pengasas RPWP membimbing kanak-kanak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza, berteraskan al-Quran dan sunnah yang menjadi modul utama pendidikan di sini.

“Peranan AIP dalah membentuk akhlak melebihi akademik yang menjadikan mereka lebih baik berbanding sebelum ini,”katanya.

Katanya, konsep itu (al-Quran dan sunah) di rumah berkenaan jugalah yang dicarinya untuk memberikan pendidikan kepada ketiga cahaya matanya sebagai benteng mengharungi kehidupan penuh cabaran.

“Itu pendorong utama saya menjadi sukarelawan sepenuh masa di RPWP dan apa yang saya lakukan ini bukan ganjaran diri saya semata-mata malah saham akhirat kepada kedua ibu bapa saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 1:18 PM