LEE bersama dulang kayu yang digunakan ketika aktiviti mendulang bijih timah.
BIJIH timah yang dipamerkan.
LEE menunjukkan bijih timah bewarna hitam seberat kira-kira tujuh kilogram dan mempunyai tahap ketulenan tinggi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Jika sebelum ini, ramai mengetahui kewujudan bijih timah hanya menerusi pembacaan buku sejarah ketika di bangku sekolah tetapi tidak dapat menggambarkan rupa sebenar bahan logam itu.

Namun, kini sesiapa saja boleh merasai pengalaman melihat sendiri selain menyentuh dan memegang bijih timah yang dipamerkan di Pusat Warisan Komuniti Kajang di Jalan Mendaling, Kajang.

Rupa bentuknya seperti ketulan batu yang salah satunya bersaiz batu bata berwarna hitam manakala lapan bijih timah lain bersaiz kecil berwarna kekuningan.

Difahamkan ketulan bijih timah berwarna hitam memiliki tahap kepadatan dan ketulenan tinggi iaitu diantara 70 hingga 80 peratus berbanding berwarna kekuningan hanya 30 hingga 40 peratus ketulenan.

Selain itu, turut dipamerkan dulang yang diperbuat daripada kayu yang digunakan untuk mendulang bijih timah oleh masyarakat tempatan dan Mandailing di beberapa lombong sekitar Kajang.

Menariknya, penemuan bijih timah itu dikatakan mempunyai kaitannya dengan sejarah pembukaan daerah Kajang sekitar 1870-an.

Pengarah Pusat Warisan Komuniti Kajang Lee Kim Sin berkata, bijih timah berkenaan adalah pemberian seorang penduduk Kajang kepada pusat berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, logam itu dipercayai berusia jutaan tahun yang diambil dari sebuah lombong di daerah terbabit oleh masyarakat terdahulu.

“Aktiviti melombong bijih timah di Kajang bermula di satu kawasan iaitu Reko atau Rekoh yang kini dikenali Kampung Sungai Tangkas yang menjadi daerah paling awal menjalankan aktiviti itu berbanding Kuala Lumpur.

“Di situ (Reko atau Rekoh) terdapat lombong dan masyarakat Mandailing tinggal di kawasan berkenaan. Orang Mandailing mengetuai aktiviti melombong bijih timah dan menjadi masyarakat pertama menjalankan aktiviti itu sekitar lewat 1840-an atau awal 1850-an,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, terdapat juga dua kawasan lain di Kajang yang awal menjalankan aktiviti melombong bijih timah termasuk Bukit Arang atau kini dikenali sebagai Batu 14 Hulu Langat.

Jelasnya, oleh kerana aktiviti melombong bijih timah pada ketika itu rancak mendorong Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor ketika itu) menjemput seorang ahli perniagaan, Chin Nah Chan untuk membuka lombong bijih timah secara komersial di Bukit Arang pada 1868.

“Pada 1890-an, lebih banyak kawasan lombong bijih timah dibuka iaitu sekitar Kajang, Semenyih dan Hulu Langat termasuk di Kampung Baru Sungai Chua.

“Pada tahun itu juga (1890-an) ramai orang British datang ke Kajang untuk cuba membuka ladang kopi tetapi tidak berjaya dan kemudian beralih kepada tanaman getah seluas 208 hektar,” katanya.

Lee berkata, tanaman getah berjaya dan banyak kawasan getah dibuka susulan kejatuhan harga bijih timah di pasaran antarabangsa.

“Impak daripada itu ramai orang berhijrah ke Kajang untuk bekerja di estet getah dan ia juga menjadi permulaan pembukaan daerah Kajang.

“Dipercayai masih banyak kawasan sejarah di daerah itu yang belum diterokai disebabkan kekurangan maklumat tetapi perlu dilakukan demi memastikan tidak terkubur begitu saja untuk tatapan generasi akan datang,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 12:40 PM