CAHAYA warna-warni waktu malam menghadirkan keindahan Masjid Kristal.
MIMBAR dihiasi corak jejari buaya dan dicat putih.
KALIGRAFI khat kufi yang menghiasi bahagian dalam keliling kubah utama.
Ahmad Rabiul Zulkifli
rencana@hmetro.com.my


Keunikan Masjid Kristal yang terletak dalam kawasan tarikan pelancongan di Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu tidak perlu dipertikaikan lagi.

Ia satu-satunya masjid yang dibina menggunakan kaca dan keluli di negara ini, malah turut diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di Malaysia.

Mempunyai 51 kubah dan lengkap dengan empat menara sudah cukup mengambarkan kehebatan seni bina Islam Moorish yang cuba diterapkan pada pembinaannya.

Berkeluasan 2,146 meter persegi, masjid itu mampu memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa selain dilengkapi prasarana teknologi maklumat dan liputan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan akses Internet bagi membaca al-Quran elektronik.

Pembinaannya yang menelan belanja kira-kira RM360 juta itu digunakan secara rasmi selepas dirasmikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.

Sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke masjid itu akan dapat merasai pengalaman berbeza kerana seni binanya yang unik dan dewan solat berbentuk segi empat selain penggunaan bahan binaan berlainan berbanding masjid lain di negara ini.

Masjid Kristal juga menjadi pelengkap kepada 21 monumen seni bina tamadun Islam seperti Kubah As Sakhra di Palestin, Masjidil Haram (Arab Saudi), Masjid Al-Hambra Citadel (Sepanyol), Taj Mahal (India), Menara Kalyan (Uzbekistan), Masjid Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Mesir), Masjid Qairawan (Tunisia), Masjid Allepo Citadel (Syria) dan Masjid Kul Syarif (Rusia) di TTI.

Imam Masjid Kristal Wan Mohd Ridhwan Wan Azam berkata, kedudukan masjid itu di tengah Sungai Terengganu dan jelas boleh dilihat daripada Jambatan Sultan Mahmud membuatkannya bertambah sempurna serta memberi gambaran yang indah terutama kepada pelancong.

“Kebanyakan pengunjung mengagumi keindahan Masjid Kristal ini terutama apabila ia berkilau terkena sinaran matahari. Walaupun kubahnya diperbuat daripada kaca dan cahaya matahari boleh memasuki ruang solat, ia tidak menyebabkan jemaah di dalam masjid berasa panas, itu antara keistimewaan yang ada pada masjid ini.

“Masjid Kristal juga tidak mempunyai tingkap dan hanya dilengkapi dengan 15 pintu termasuk satu pintu utama tetapi ia lengkap dengan alat pendingin hawa bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Setiap pintu itu pula dihiasi dengan tulisan khat yang unik dan menarik. Corak hiasan dalaman pula berkonsepkan bunga tempatan termasuk corak bunga telipot pada pintu utama selain corak Nusantara pada penghadang ruang solat wanita,” katanya.

Menurutnya, kaligrafi khat kufi yang menghiasi bahagian dalam keliling kubah utama dan mihrab juga menyerlahkan keindahan Masjid Kristal sehingga ramai pelancong tidak melepaskan peluang merakam gambarnya.

“Mimbar untuk khatib membaca khutbah juga menarik kerana ia dihiasi corak jejari buaya selain dicat dengan warna putih sekali gus menimbulkan suasana yang menenangkan ketika berada di dalam masjid.

“Keindahan masjid itu lebih terserlah ketika waktu malam kerana ia disinari dengan sistem pencahayaan yang menarik menggunakan lampu diod pancaran cahaya (LED) yang berwarna-warni,” katanya.

Menurutnya, keindahan dan keunikan masjid itu bukan sahaja mendorong pengunjung dalam negara tetapi ramai pelancong luar termasuk dari Eropah yang sanggup menghabiskan masa di pekarangan masjid itu selama berjam-jam kerana ingin menghayati keindahan masjid itu pada waktu malam.

“Bagi menimbulkan suasana seperti berada di Timur Tengah, pokok tamar dijadikan landskap utama di sekeliling dan pekarangan masjid di samping ‘Islamic Garden’ berhampiran masjid dan gerai jualan cenderamata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 12:56 PM