LEE memeriksa barangan antik.
PETA Hulu Langat Heritage Trail di Pusat Warisan Komuniti Kajang.
LEFTENAN Adnan adalah tokoh dari Hulu Langat.
PLAK berusia lebih 100 tahun daripada Dinasti Qing di China.
ANTARA koleksi yang turut dipamerkan.
BIJIH timah di Pusat Warisan Komuniti Kajang.
ALAT penimbang yang digunakan zaman dahulu.
LEE menunjukkan bijih timah yang diperoleh dari lombong bijih timah di Kajang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Seronok berbicara dengan lelaki ini dek pengetahuannya berkenaan sejarah Kajang cukup banyak. Sedikit yang ditanya, panjang lebar penjelasannya.

Bagi penulis yang cetak pengetahuan berkenaan sejarah, sudah tentu kagum dengan kebolehannya selain tertarik kerana maklumat yang dikongsi khususnya sejarah Kajang cukup menarik.

Penulis mengenali lelaki berusia 64 tahun ini melalui seorang rakan dan berpeluang menemuinya di Pusat Warisan Komuniti Kajang di bandar Kajang, bagi berkongsi pengalaman pembabitannya sebagai pengkaji sejarah, baru-baru ini.

Lee Kim Sin yang juga pengarah pusat berkenaan berkata, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang itu pada 2000 selepas empat tahun bersara awal sebagai guru Sains dan Biologi di sebuah sekolah di Kajang.

“Ia bermula selepas mendapati maklumat sejarah Kajang menerusi penulisan orang lama banyak tetapi tidak disusun secara sistematik.

“Saya terpaksa membuat penyusunan semula dengan mewujudkan pusat ini (Pusat Warisan Komuniti Kajang).

“Pusat ini menjadi tempat penyimpanan bahan berkaitan sejarah dan peralatan artifak bagi memperingati orang lama yang meneroka serta membuka Kajang satu masa dahulu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat lebih 200 barangan bersejarah berkaitan Kajang tersimpan di pusat terbabit hasil sumbangan orang ramai dan setiap barangan itu mempunyai kisah tersendiri yang menarik.

“Contohnya, plak berusia lebih 100 tahun di pusat ini sumbangan seorang bangsawan daripada Dinasti Qing dari China sebagai anugerah kepada ketua kampung dan penghulu.

“Saya sudah mencari sejarah plak ini kira-kira tiga tahun lalu dan mendapati pemiliknya juga pemilik sebuah syarikat besar di negara ini,”katanya.

Begitu juga dengan bijih timah, beliau berkata ia sumbangan orang ramai di pusat berkenaan 10 tahun lalu dan usia sebenar bahan logam itu dipercayai jutaan tahun.

“Penemuannya membuktikan Kajang lebih awal menjalankan aktiviti melombong bijih timah berbanding Kuala Lumpur.

“Ramai tidak mengetahui berkenaan perkara ini.

“Orang ramai juga boleh datang ke pusat ini untuk merasai pengalaman baru dengan melihat dan menyentuh bijih timah yang selama ini hanya diketahui menerusi pembacaan buku dan Internet,”katanya.

Selain itu katanya, beliau turut menemui bekas lombong bijih timah di gua Bukit Arang yang di dalamnya terdapat peralatan seperti kereta sorong dan alat pembakar berfungsi mengering serta memanaskan bijih timah, beberapa tahun lalu.

Katanya, terdapat juga terowong sebagai laluan kepada pelombong untuk membawa bijih timah keluar dari atas bukit ke kaki bukit.

“Bekas lombong berkenaan dipercayai berusia 100 tahun tapi malangnya semua peralatan yang dijumpai sebelum ini didapati sudah hilang dipercayai dicuri apabila saya datang semula ke kawasan terbabit, dua tahun kemudian.

“Penemuan (lombong bijih timah) itu sangat penting dari segi nilai sejarah di Selangor mahupun negara,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi bekas lombong bijih timah berhampiran kawasan berkenaan.

“Kawasan ini perlu diperlihara menjadi tapak warisan. Diharapkan kerajaan negeri memberi perhatian dan membuat kajian lebih lanjut serta mewartakan kawasan itu sebagai kawasan warisan,”katanya mengakhir perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 12:02 AM