DULU. Hospital Fatimah, Ipoh pada 1974.
KINI. Hospital Fatimah satu daripada lima hospital swasta
DULU. Masjid Panglima Kinta dibina pada 1898.
KINI. Masjid Panglima Kinta sebagai bangunan warisan di Perak.
DULU. Istana Riswin pada 1986.
KINI. Bangunan Istana Riswin tidak banyak perubahan.
DULU. Bangunan kolonial di Jalan Sultan Iskandar.
KINI. Jalan utama dilebarkan bagi mengelak kesesakan.
DULU. Bulatan Sultan Yussuf pada 1963 dan menjadi antara mercu tanda Ipoh.
KINI. Landskap Bulatan Sultan Yussuf lebih menarik berlatar belakang bangunan moden.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Mungkin ramai tidak mengetahui, Ipoh, Perak adalah bandar raya keempat terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.

Antara penyumbang pencapaian itu ialah disebabkan perkembangan pesat yang berlaku di Ipoh hasil kegiatan perlombongan bijih timah satu ketika dahulu.

Bukan itu saja, ia turut menjadikan Ipoh lebih terkenal berbanding daerah di negeri lain hanya kerana kekuatannya yang kaya dengan hasil mineral berkenaan.

Namun begitu, sebelum mengetahui lebih lanjut sejarah Ipoh yang berada dalam daerah Kinta, perlulah diketahui asal usul namanya. Berdasarkan sejarah, nama itu diambil daripada pohon ‘epu’ atau lebih dikenali sebagai pokok ipoh.

Difahamkan, masyarakat Orang Asli menggunakan getah pokok itu yang dikatakan beracun sebagai panahan sumpit mereka untuk memburu haiwan dalam hutan.

Manakala orang Cina pula menyebutnya sebagai Ipoh atau Paluh.

Pada 27 Mei 1988, Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mengisytiharkan Ipoh sebagai bandar raya.

Sejarah pentadbiran Ipoh bermula dengan pembinaan kawasan lapang pertama pada 1898 yang kini dikenali sebagai Padang Ipoh.

Kawasan pentadbiran Ipoh berkembang hingga menyeberangi Sungai Kinta dan wujudnya pekan baru (Ipoh New Town) ke Jalan Anderson pada 1905 hingga 1914.

Pada 1905 hingga 1915 ‘Kinta Sanitary Board North’ diwujudkan dan pada 1916 hingga 1941, ‘Kinta District Board’ pula yang diwujudkan di bawah pentadbiran tentera British.

Pada 1954 hingga 1956 ‘Ipoh Menglembu Town Council’ ditubuhkan. Kemudian, Ipoh dinaik taraf sebagai perbandaran dan dikenali Majlis Perbandaran Ipoh pada Mei 1962.

Perisytiharan itu sekali gus menjadikan Ipoh sebagai bandar pertama di negara ini dinaik taraf perbandaran selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Kemajuan di Ipoh berlaku secara berterusan dan tahun lalu diumumkan sebagai Bandar Perniagaan Sosial kelima di dunia selepas Pistoia di Itali, Barcelona (Sepanyol), Wiesbaeden (Jerman) dan Fukuoka (Jepun).

Projek pembangunan mega bernilai RM2.1 bilion yang dibawa ke Ipoh dijangka memberi perubahan landskap yang besar di bandar raya berkenaan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Meskipun jarak kedudukannya lebih 200 kilometer dari Kuala Lumpur, tidak mustahil bandar raya itu mampu menyaingi kemajuan ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 9:45 AM