MENUNGGANG juga antara aktiviti yang disukai pengunjung.
MENUNGGANG juga antara aktiviti yang disukai pengunjung.
Suliati Asri


Melihat si kecil tertawa riang saat bermain bersama arnab yang comel cukup mententeramkan jiwa.

Gelagat mencuit hati dek geli saat berjaya menangkap dan memegang arnab berbulu lembut serta teruja menunggang kuda yang gagah bukan saja menggembirakan si kecil malah ibu dan bapa juga.

Walau hanya sejam dua, ia nyata masa yang sangat berkualiti buat seisi keluarga yang terpisah sejak pagi dengan aktiviti masing-masing.

Terletak di Jalan Hj Kaharudin, Kampung Changkat Damai, Gombak, Rubinga Heritage adalah lokasi riadah yang menarik buat pengunjung menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga.

Diusahakan sejak 2008 dan mula dikomersialkan pada 2016, Rubinga Heritage menawarkan aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.

Eksekutif Pemasarannya Nurazah Fathirah Kamarulzaman, berkata Rubinga Heritage dibuka kepada kunjungan orang ramai bagi mempromosikan sunah berkuda.

AKTIVITI memanah tradisional dengan harga yang berpatutan juga disediakan.
AKTIVITI memanah tradisional dengan harga yang berpatutan juga disediakan.

“Selain itu, Rubinga Heritage ini juga diwujudkan bagi merakyatkan sukan berkuda yang sememangnya cukup digemari ramai tetapi tidak punya tempat untuk mencubanya.

“Di samping itu, Rubinga Heritage juga ingin memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa sukan berkuda ini bukan hanya untuk orang kaya tetapi semua golongan tidak kira umur boleh melakukan aktiviti ini,” katanya.

Bagi yang ingin menunggang kuda, bayaran RM3 untuk kanak-kanak dan RM5 untuk dewasa dengan dua kali pusingan dikenakan.

Bagaimanapun, jika ingin lebih pusingan, pengunjung boleh memberitahu penjaga kuda dan akan ada bayaran tambahan dikenakan.

Selain menunggang kuda, pengunjung boleh mengenali dengan lebih dekat haiwan yang pantas berlari ini menerusi kursus pengurusan dan pengendalian kuda. Dengan kursus ini, pengunjung boleh mendalami ilmu pengendalian kuda termasuk cara penjagaan, merawat, memproses makanan dan banyak lagi yang sememangnya cukup mengujakan.

Kelas menunggang kuda juga turut disediakan buat kanak-kanak dan orang dewasa.

Aktiviti lain iaitu bermain dengan arnab di taman arnab juga nyata tidak mengecewakan. Dengan kira-kira 70 ekor arnab, pengunjung pastinya tidak keruan dibuatnya.

SI KECIL teruja dapat mendekati dan memberi arnab makan lobak merah.
SI KECIL teruja dapat mendekati dan memberi arnab makan lobak merah.

Hulur saja lobak merah kepada seekor arnab, akan datang tiga hingga empat ekor yang lain.

Dengan bayaran tiket RM2 dengan satu mangkuk lobak merah, menghabiskan waktu senja yang permai di taman arnab ini nyata tidak mengecewakan.

Aktiviti memanah tradisional dengan bayaran RM5 untuk tiga anak panah dan RM15 untuk 10 anak panah juga memberikan keseronokan tersendiri.

Dibuka setiap hari bermula jam 4.30 petang hingga 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 11:58 AM