WATAK Mickey Mouse dan rakan sememangnya mencuit hati pengunjung di HKDL.
DISNEY Paint The Night Parade antara yang mengujakan.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Sebut saja Hong Kong Disneyland, pasti terbayang taman tema dipenuhi pelbagai watak kartun kegemaran ramai seperti Mickey dan Minnie Mouse, Donald Duck, Goofy, Pluto, Aladdin, Snow White dan Cinderella.

Itu belum lagi bergambar bersama karakter yang sememangnya disukai ramai terutama watak kegemaran seantero dunia, Mickey Mouse, watak kartun yang sudah berusia 89 tahun itu. Ia pastinya kenangan terindah yang pastinya tidak dapat dilupakan.

Menawarkan keseronokan tanpa henti dan alam fantasi yang mempesona, Hong Kong Disneyland (HKDL) tawar lebih banyak keajaiban pada 2018 khusus buat pengunjung dari Malaysia.

Tahun hadapan, HKDL genap berusia 12 tahun sejak dilancarkan, oleh itu, HKDL bakal memberi nafas baru kepada alam keajaiban Disneyland dengan menawarkan pelbagai tarikan terbaru bagi menambahkan keterujaan kepada pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat.

Taman tema ini memenuhi keperluan tetamu antarabangsa melalui penawaran pengalaman Disney yang sempurna kepada keluarga, termasuk bertegur sapa dengan Mickey, Minnie dan rakan mereka serta puteri dongeng kegemaran ramai.

Di samping itu, ia memaparkan lebih 100 persembahan bertaraf dunia dan pelbagai daya tarikan di tujuh kawasan tema, termasuk Fairy Tale Forest, serta persembahan pentas Mickey and The Wondrous Book yang dianjurkan secara eksklusif di HKDL.

Pengunjung remaja pula berpeluang menikmati pelbagai tarikan berdasarkan kisah dan watak Star Wars dan Iron Man yang mengujakan.

Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan HKDL Samuel Lau berkata, sebagai taman tema Disney paling hampir dengan Malaysia, pihaknya sedar Malaysia adalah antara pasaran yang sedang berkembang dan paling penting di rantau Asia Tenggara.

“HKDL melancarkan pelbagai tarikan baru serta hiburan bertaraf dunia bagi pengunjung.

“Kami sangat mengalu-alukan lebih ramai pengunjung Malaysia datang dan mengalami sendiri pengalaman Disney yang tidak dapat dilupakan pada 2018,” katanya.

Bermula bulan hadapan, satu siri acara istimewa dan tawaran terbaru bakal dilancarkan sepanjang tahun. Royal Princess Garden bakal dibuka pada Disember ini, pengunjung muda dapat merealisasikan impian mereka untuk menjadi puteri melalui solekan istimewa. Di samping itu, mereka berpeluang merakam detik bermakna ini bersama Puteri Disney kegemaran mereka di sesi foto.

Bagi penggemar filem kartun Moana, HKDL turut melancarkan pusat hiburan bertemakan Moana di Adventureland pada Mei 2018. Menerusi pembukaan ini, persembahan pentas yang mengujakan, Moana: A Homecoming Celebration bakal mengusik imaginasi pengunjung tanpa mengira umur.

Sepanjang 2018, pengunjung Malaysia dapat menikmati detik penuh keajaiban dengan pelbagai acara. ia bermula dengan perayaan Tahun Baru Cina, Karnival Disney Springtime, acara istimewa musim panas, Disney Halloween Time dan A Disney Christmas.

Pengunjung Malaysia juga dapat menikmati detik penuh keajaiban pada 2018 dengan pelbagai acara. Selain dapat merasai sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Karnival Disney Springtime, acara istimewa musim panas, Disney Halloween Time dan A Disney Christmas, pengunjung akan teruja dengan dekorasi taman tema yang akan dicorakkan dengan pelbagai perubahan bagi mencerminkan kemeriahan perayaan ini.

Selain itu, watak Disney akan muncul dalam pakaian yang melambangkan perayaan ini bagi menceriakan lagi suasana.

Seterusnya, pelan perkembangan HKDL itu bakal menyaksikan pelancaran beberapa kawasan bertema, tawaran serta hiburan baru setiap tahun sehingga 2023.

Menariknya pengunjung Malaysia berpeluang menikmati perayaan Krismas tahun ini di Hong Kong Disneyland Resort (HKDL), taman tema Disney yang paling hampir dengan Malaysia.

Dari 16 November ini hingga 1 Januari 2018, HKDL bakal bertukar menjadi ‘alam salji’.

Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk merasai sendiri keseronokan dan keajaiban yang ditawarkan di Hong Kong DisneyLand.

Layari www.hongkongdisneyland.com/ms/ untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 11:21 AM