DR Maimunah ketika melakukan gimik perasmian Karnival Lepak, Erat, Derma.
ZUMBA antara mendapat sambutan orang ramai.
Mohd Khidir Zakaria


Projek Tahun Akhir penuntut Sarjana Muda Pengurusan Majlis Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam, Selangor menganjurkan Karnival Lepak, Erat, Derma ternyata berbaloi apabila mendapat sambutan pengunjung di Dataran Kemang, Port Dickson, baru-baru ini.

Pengarah Projek, Mohamad Imaduddin Zainal Abidin berkata, ini projek akhir yang pertama kali diadakan di luar kampus bagi memenuhi keperluan salah satu kursus berkaitan bidang dipelajari.

“Melaksanakan program besar seperti ini banyak menguji dan memberi manfaat kepada kami, namun hasil kerjasama serta nasihat Penasihat Program, Profesor Madya Haslina Ahmad dan rakan, akhirnya kami berjaya menghasilkan penganjuran karnival setaraf anjuran pihak lain yang biasa diadakan.

“Sepanjang karnival sehari ini kami mengadakan Umbrella Beach Run, Zumba, Permainan Buih Gergasi, Urutan Refleksologi, Sudut Gunting Rambut, Gerai Foto, Pameran Kreativiti dan persembahan kugiran artis tempatan,” katanya.

Muhammad Imaduddin berharap program seperti ini mencapai objektif ditetapkan terutama kehadiran pengunjung di Karnival Lepak, Erat, Derma (LED) yang juga mendapat kerjasama pelbagai pihak luar termasuk penyertaan Persatuan pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Sembilan (Bengkel Seri Sembilan).

Katanya, dia tidak menyangka acara larian ‘Umbrella Beach Run’ yang diadakan mendapat sambutan di luar jangkaan apabila turut disertai peserta luar negara.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan UiTM Puncak Alam, Dr Maimunah Mohd Shah berkata, pastinya program seperti ini membuahkan kenangan untuk penuntut dan juga dirinya.

“Apa yang saya nampak penganjuran karnival ini harus diberi pujian dan mereka berjaya melaksanakannya. Mereka (penuntut) bukan sahaja dapat melaksanakan projek dengan baik tetapi mendapat kerjasama banyak pihak bagi menjayakan program,” katanya.

Hadir sama, Penasihat Program, Profesor Madya Haslina Ahmad dan Penaja Utama dari Aeromobil Global Micheal Oi.

Kemuncak program ialah larian ‘Umbrella Beach Run’ yang disertai lebih 250 peserta dari dalam dan luar negara termasuk orang kurang upaya yang menyertai perlumbaan berkerusi roda.

Larian sejauh tiga kilometer dimenangi peserta dari Kenya, James Gikunga Karanja, kedua K Prabudass dan ketiga R Thevan, masing-masing membawa pulang hadiah berupa televisyen 60 inci, 50 inci dan 40 inci serta medal sumbangan Aeromobil Global.

Bagi peserta kategori OKU, Shahril Uzaily, 38, dia berbangga dapat turut serta bersama pasukannya dari Bengkel Seri Sembilan, Mambau dan pada masa sama membuat pameran pelbagai peralatan hasil tangan mereka.

“Bagi saya Karnival LED ini adalah terbaik yang pernah kami sertai. Ia tidak hanya untuk orang yang normal tetapi turut memberikan peluang kepada kami (OKU) memeriahkan program dan pengunjung boleh membeli sambil menderma.

“Saya berharap ada lagi peluang seperti ini diberikan kepada kami dan menunjukkan kepada orang ramai bahawa kami juga menyumbang dalam merancakkan barangan buatan tempatan seperti membuat sampul surat rasmi, bakul, jahitan pakaian, sulaman dan juga lukisan inai di tangan,” katanya yang hadir bersama isteri yang juga OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 1:07 PM