MOHAMMAD Hakimi dan Nurul Atiqah .
D J Dolasoh
rencana@hmetro.com.my

Pasangan muda, Mohammad Hakimi Abdul Mutalib, 30, dan isteri, Nurul Atiqah Nazaruddin, 29, dari Gerik, Perak ini tidak pernah menyesal apabila menolak tawaran kerja, malah seronok menjadi pendakwah sepenuh masa secara sukarela.

Hati dan jiwa mereka mulia serta kental apabila sepakat beriltizam untuk hidup sebagai pendakwah bebas tanpa memperoleh gaji atau upah.

Awal November lalu, mereka menjalankan misi dakwah hingga ke Ulu Tembeling, Pahang bersama 17 rakan selama tiga hari semata-mata mendekati 150 kaum minoriti Orang Asli daripada Suku Bateq ke Kampung Popei yang belum menganut sebarang agama.

Mohammad Hakimi berkata, dia bersama rakan menaiki bot dari Jeti Kampung Pagi, Jerantut ke Kampung Popei, Ulu Tembeling hampir empat jam sebelum tiba ke perkampungan Orang Asli yang menetap di tepi Sungai Tembeling itu.

“Tiada seorang pun daripada 150 orang penduduk di situ beragama Islam sejak tinggal berkampung lebih 30 tahun lalu meskipun sebelum ini beberapa kumpulan dakwah sudah masuk ke tempat mereka.

“Seperti dijangka, mereka kurang menerima rombongan kami apabila ada yang cuba lari ke hutan atau bersembunyi di dalam rumah masing-masing,” katanya.


MOHAMMAD Hakimi (kanan) bersama ahli Syahadah Care menyusuri Sungai Tembeling, Pahang hampir empat jam untuk ke perkampungan Orang Asli Kampung Popei, Ulu Tembeling.

Bagaimanapun katanya, selepas menggunakan kaedah dakwah bil hal seperti menghulurkan bantuan dan beramah mesra, penduduk akhirnya menerima kunjungan mereka.

Bergerak atas nama Persatuan Dakwah dan Kebajikan atau Syahadah Care yang baru ditubuhkan pada Oktober lalu, Mohammad Hakimi berkata, kini dia bersama 34 ahli pertubuhan itu menjalankan aktiviti dakwah dengan lebih yakin dan terancang.

Katanya, apa yang penting misi dakwah mereka berjaya mencapai sasaran sama ada bergerak bersama pendakwah lain atau hanya bersama ahli kumpulan sendiri dan mengharungi pelbagai cabaran hingga jauh ke kawasan pedalaman.

Mohammad Hakimi yang juga Pengerusi Syahadah Care adalah pemegang Ijazah Usuludin dari Universiti Al-Azhar, Mesir sementara isterinya, Nurul Atiqah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau aktif berdakwah sejak tiga tahun lalu dan selepas berkahwin dua tahun lalu, pasangan suami isteri itu meneruskan kerja dakwah ini.

Bagi memantapkan usaha, mereka turut mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selain ustaz yang berpengalaman dalam bidang berkenaan.


KANAK-KANAK Orang Asli dibahagikan kumpulan untuk acara permainan.

“Kami melakukan kerja amal dan dakwah ini bukan saja kepada mereka yang belum Islam tetapi juga yang sudah memeluk Islam tetapi masih kurang penghayatan serta pengetahuan Islam.

“Beberapa kawasan di Sabah seperti di Keningau dan Nabawan turut menjadi lokasi misi kami berdakwah sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ia bergantung kepada kewangan,” katanya.

Malah, Mohammad Hakimi juga mengetuai sukarelawan sebanyak 10 kali ke Perkampungan Orang Asli Kampung Chiong, Banding, Gerik bagi menjalankan misi syahadah kepada 263 suku Temiar dan beberapa keluarga suku Jahai di Royal Belum, Banding.

Katanya, pelbagai cabaran dihadapi antaranya terpaksa melalui hutan belantara dengan kenderaan pacuan empat roda, berjalan melalui jalan trek lori balak, gunung-ganang dan sungai yang berarus deras untuk sampai ke lokasi.

“Misi syahadah ada ketikanya menakutkan kerana arus sungai deras dan bot kecil yang kami naiki kadang-kadang terlanggar batu menyebabkan air masuk ke dalam bot dan hampir karam.

“Semua cabaran tidak mematahkan semangat kami demi hasrat misi syahadah menyampaikan kefahaman berkenaan Islam kepada orang lain,” katanya.

Menurutnya, banyak perancangan dakwah disusun untuk tahun depan. Mulai Januari mereka akan ke Bera, Pahang, Pulau Banggi, Sabah dan Ulu Tembeling sekali lagi yang pasti memerlukan dana terutama dakwah bil hal yang berbentuk memberi bantuan material.


AHLI Syahadah Care bergambar kenangan bersama sebahagian penduduk Orang Asli Kampung Popei, Ulu Tembeling.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 1:50 PM