PAMERAN Bejampong adalah pameran arca kayu solo kedua Anniketyni.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Kerja seninya cukup halus membuktikan beliau bukan calang-calang pengarca kayu yang mempunyai bakat dan daya kreativiti luar biasa.

Penulis sendiri tidak mampu menyembunyikan rasa kagum terhadap karya itu sebaik melangkah masuk ke Pameran Bejampong di Galeri Artcube di Intermark Mall, Kuala Lumpur.

Sebanyak 17 karya pelbagai bentuk arca kayu itu dihasilkan Anniketyni Madian yang membarisi pameran solo keduanya di galeri berkenaan.

Kekayaan budaya di negeri kelahirannya, Sarawak memberi inspirasi kepada Anniketyni untuk mengadaptasi selain menghasilkan karya menarik dan memukau sesiapa saja.


ANNIKETYNI bersama arca kayunya bertajuk Kayu Betimbau.

Anniketyni berkata, ‘Bejampong’ adalah perkataan daripada etnik Iban Laut di Sarawak bermaksud rangkuman kerja seni yang dihasilkan sebelum ini membabitkan aspek reka bentuk, sejarah pua kumbu (songket Sarawak) dan kayu sebagai medium utama membuat arca.

“Dalam pameran solo yang pertama pada 2011, saya membuat arca kayu berbentuk rama-rama.

“Untuk pameran kali ini terdapat perubahan ketara pada reka bentuk arca kayu yang lebih baik dan kreatif,” katanya.

Katanya, jika sebelum ini arca kayu dihasilkan berbentuk rama-rama tapi kali ini mempunyai pelbagai bentuk seperti kiub, bulat, ombak dan segi empat selain proses pembuatannya cukup mencabar.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata, salah satu karyanya bertajuk Kayu Betimbau#2 yang dihasilkan menggunakan medium campuran kayu keras begitu dekat dengan dirinya kerana menterjemahkan perjalanan kerjanya dalam bidang kerja seni.


ANNIKETYNI bersama arca kayu berbentuk beg tangan jenama terkenal seperti Chanel, Louis Vuitton dan Celine dihasilaknya.

“Kayu berwarna merah bermaksud saya tengah bekerja dalam studio.

“Sementara warna hitam pula menyatakan saya tengah bekerja keras menyiapkan karya yang begitu rumit dihasilkan,” katanya.

Katanya, dia berharap karyanya itu dapat memberi inspirasi kepada artis muda untuk menghasilkan arca menggunakan kayu kerana masih ramai tidak melakukannya.

Sementara itu, Kurator Pameran Bejampong, Azhar Ahmad berkata, penghasilan arca kayu sangat penting untuk perkembangan industri seni kontemporari tempatan.

“Kami memerlukan lebih ramai artis muda terbabit dalam pembuatan arca kayu kerana industri ini semakin berkembang dan mendapat perhatian.

“Saya kagum dengan Anniketyni kerana mempunyai bakat besar dalam bidang ini, lebih-lebih lagi mampu menghasilkan arca kayu berbentuk beg tangan jenama terkenal seperti Chanel, Louis Vuitton dan Celine,” katanya.

PAMERAN BEJAMPONG

• ARTIS: 1

• KARYA: 17

• TARIKH: 16 November hingga 31 Disember 2017

• MASA: 11 pagi hingga 8 malam (setiap hari)

• ALAMAT: 3-10 & 3-13, Tingkat 3 Intermark Mall, The Intermark, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

• TELEFON: 03-2161 1323

• LAMAN WEB: www.artcube.com.my


ARCA kayu bertajuk Kayu Betimbau#2 dihasilkan menggunakan campuran kayu keras.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 1:57 PM