KOLEKSI burung Alfred Ressell Wallace’s.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin (Yang mengikuti lawatan media ke ArtScience MuseumMarina Bay SandsSingapura dan baru-baru ini)


Tidak ramai rakyat negara ini berpeluang mengunjungi Muzium Sejarah Semula Jadi London untuk melihat pelbagai spesies haiwan sudah pupus dan barangan artifak disebabkan kos perbelanjaan ke negara itu yang tinggi.

Namun, segala dipermudahkan apabila ArtScience Museum, Marina Bay Sands, Singapura mengambil inisiatif bekerjasama dengan Muzium Sejarah Semula Jadi London menganjurkan Pameran Khazanah Alam Semula Jadi Dunia di negara berkenaan.

Pameran yang berlangsung pada 25 November hingga 29 April 2018 itu julung kali diadakan di Asia Tenggara.

Penganjurannya juga memberi peluang keemasan kepada penduduk di Asia Tenggara, khususnya rakyat negara ini mengunjungi ArtScience Museum bagi mendapatkan pengalaman berharga dalam pameran terbabit.


SURAT Alfred Ressell Wallace’s bertarikh 28 Disember 1845.

Ia mempamerkan lebih 200 objek dari Muzium Sejarah Semula Jadi London termasuk haiwan, serangga, karya seni, permata, mineral, buku dan artifak milik beberapa ahli sains terkenal dunia seperti Charles Darwin serta Alfred Russel Wallace’s.

Antara yang diberikan tumpuan dalam pameran itu ialah manuskrip tulisan tangan Charles Darwin berkenaan asal usul spesies, keajaiban kucing bertaring, misteri kristal ungu, ‘martian metrorite’ (batu terbentuk di planet Marikh yang turun ke bumi).

Turut diberikan tumpuan ialah koleksi serangga Alfred Ressell Wallace’s yang diperolehnya ketika ekspedisi ke Kepulauan Melayu di Singapura, Malaysia dan Indonesia.


MANUSKRIP tulisan tangan Charles Darwin.

Banyak lagi kisah menarik berkenaan misteri khazanah alam semula jadi dalam pameran berkenaan dan pastinya meninggalkan kesan istimewa terhadap pengunjung.

Semua khazanah unik itu dipilih daripada 80 juta spesimen di antara koleksi terbaik dimiliki muzium di dunia ini.

Menariknya pameran itu akan membawa pengunjung menghayati penemuan spesimen dan artifak yang ditemui sekitar abad ke-18, di samping memberi peluang kepada pengunjung melihat bagaimana perintis sains, pengumpul spesimen dan saintis terdahulu merevolusikan pemahaman kita berkenaan alam semula jadi.

Pendekatan interaktif turut digunakan untuk menarik minat kanak-kanak ke pameran berkenaan selain menggalakkan mereka ‘mengembara’ lebih jauh untuk berimaginasi dan menimbulkan perasaan ingin tahu berkenaan dunia semula jadi.


KOLEKSI kumbang Alfred Ressell Wallace's.

Pengarah Eksekutif ArtMuseum, Marina Bay Sands Honor Harger berkata, pihak ArtScience sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Muzium Sejarah Semula Jadi London untuk mempamerkan koleksi spesimen dan artifak paling luar biasa kali pertama di Singapura.

“Pameran ini, umpama kami mencipta peluang kepada pengunjung untuk ‘mengembara’ semula ke abad ke-18 seperti dilalui saintis atau pengkaji sejarah terdahulu.

“Menerusi jejak khazanah interaktif yang direka khas untuk kanak-kanak dan usaha kami mengadakan program ini bagi menunjukkan kepentingan sains terhadap barangan bersejarah,”katanya.

Beliau berkata, terdapat lima bahagian dalam pameran berkenaan yang bahagian terakhir memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat lebih dekat penyelidikan dilakukan 350 saintis Muzium Sejarah Semula Jadi terhadap penemuan saintifik.


RANGKA kepala kambing anterlop.

Harga tiket untuk bukan warganegara Singapura bagi dewasa ialah S$17 (RM51), warga emas, pelajar dan kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun adalah S$12 (RM36) dan pakej keluarga (dua kanak-kanak dan dua dewasa) ialah S$46 (RM138).

Sementara harga tiket warga Singapura bagi dewasa ialah S$ 13.60 (RM40.80), warga emas, pelajar dan kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun adalah S$9.60 (RM28.80) dan pakej keluarga (dua kanak-kanak dan dua dewasa) ialah S$36.80 (RM110.40).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 11:16 AM