BERGAMBAR kenangan selepas selesai majlis.
Fazurawati Che Lah

Jalinan kerjasama yang dimeterai dua tahun lalu antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan SALIHIN Chartered Accountant (SAC) melalui penubuhan Teaching Accounting Firm (TAF) membuahkan hasil apabila lima penuntut program Sarjana Muda Perakaunan dianugerahkan siswa terbaik dalam Majlis Penghargaan Pelajar TAF UMT-SALIHIN.

Penerima anugerah pelajar terbaik iaitu Muhammad Hakim Amir Hamzah, Siti Nur Sabreena Supardi, Lim Pik Yee, Tengku Farah Hanim Tengku Mat dan Shafiq Hazizi Shaipul Bahari terpilih sebagai penuntut terbaik.

Masing-masing menerima wang RM500 sumbangan SCA dan sijil penghargaan.

Sepanjang penubuhan TAF UMT-SALIHIN, seramai 48 mahasiswa berjaya melalui kaedah kurikulum 2u2i yang dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dua tahun lalu.

Naib Canselor UMT Prof Datuk Nor Aieni Mokhtar, berkata, TAF ialah inovasi pertama di Malaysia yang mengintegrasikan kerja perakaunan sebenar dalam kurikulum yang dilaksanakan bagi program Sarjana Muda Perakaunan UMT dengan kerjasama SALIHIN Chartered Accountant.

“TAF-UMT-SALIHIN bertujuan memberi pengalaman dan nilai tambah kepada penuntut dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan sebenar.

“Aplikasi ‘work-based learning’ (WBL) dalam kurikulum perakaunan, TAF bermatlamat merapatkan jurang antara universiti dan industri melalui program 2U2I dan bakal dikembangkan lagi kepada program pengajian yang lain,” katanya.

LIMA penuntut yang dianugerahkan siswa terbaik TAF UMT-SALIHIN.

Program TAF UMT-SALIHIN mendapat dua pengiktirafan di peringkat kebangsaan iaitu naib johan bagi Anugerah Pemikiran dan Reka Bentuk Semula Pendidikan Tinggi Malaysia 2017 (Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif) dan naib johan bagi Academia-Industry Collaboration Award 2017.

Menurut Noor Aieni, kejayaan ini membuktikan TAF mendapat pengiktirafan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi dan menjadi faktor WOW kepada program Pengajian Perakaunan dan UMT secara amnya.

“Di peringkat universiti, TAF mendokong visi melahirkan graduan yang holistik selaras dengan keperluan pemegang taruh, terutama pihak industri melalui kemahiran insaniah yang diterapkan seperti komunikasi, kerjasama kumpulan dan amalan beretika,” katanya.

Beliau turut berharap TAF terus memberi impak positif dalam peningkatan kualiti graduan UMT terutama kebolehpasaran penuntut.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri Pengasas SALIHIN Chartered Accountant, Salihin Abang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 2:46 PM