SEMBILAN artifak Zaman Neolitik Kampung Jenderam Hilir yang dipamerkan di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.
DIORAMA kehidupan masyarakat Zaman Neolitik (Zaman Batu Baru) di tapak Neolitik Kampung Jenderam Hilir, Dengkil.
MOHD Zaki di bekas tapak perlombongan bijih timah Kampung Jenderam Hilir.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Memasuki perkampungan Jenderam Hilir di mukim Dengkil dalam daerah Sepang, Selangor pasti mencetuskan tanggapan kawasan itu hanyalah kampung biasa.

Apatah lagi Kampung Jenderam Hilir dilihat masih mengekalkan ciri desa meskipun kedudukannya berhampiran Putrajaya.

Namun, ramai tidak mengetahui kisah menarik di sebalik kewujudan kampung itu dan tidak banyak maklumat mengenainya di media elektronik ataupun cetak.

Penulis sendiri mengakui terkejut apabila dimaklumkan seorang kenalan berkenaan ‘rahsia’ di Kampung Jenderam Hilir itu.

Bagi penulis, kampung berkenaan boleh diibaratkan ‘permata’ kepada negara kerana nilai sejarah yang tersimpan di dalamnya.

Percaya atau tidak, Kampung Jenderam Hilir menjadi bukti penempatan terawal manusia di negara ini dan Asia Tenggara pada Zaman Neolitik (Zaman Batu Baru).

Tapak itu terletak di kawasan perlombongan bijih timah di selatan Sungai Langat, kira-kira enam kilometer dari pekan Dengkil.

Kawasan berkenaan menjadi lokasi penemuan artifak purba yang dianggarkan berusia 4,500 tahun lalu (wujud sejak 2,500 Sebelum Masihi).

Bukti itu diperkukuhkan dengan pentarikhan karbon terdapat pada salah satu serpihan kepingan papan perahu lama yang ditemui di situ.

Terdapat 19 artifak ditemui di lombong berkenaan oleh seorang pekerja lombong tempatan yang juga bekas Ketua Kampung Jenderam Hilir ke-3 iaitu Allahyarham Mohd Mukhtar Musa pada 1977.

Artifak ditemui ialah 10 serpihan tembikar, empat batu bentuk bulat, kepingan papan perahu lama, beliung berparuh, batu giling dan kapak batu.

Kini, semua artifak terbabit disimpan di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam dan orang ramai boleh melihat khazanah berharga itu secara lebih dekat dengan mengunjungi muzium berkenaan dengan percuma.

Berdasarkan penyelidikan arkeologi di Kampung Jenderam Hilir mendapati masyarakat neolitik di kawasan berkenaan mengamalkan cara hidup yang lebih sedentari (kurang aktif bergerak).

Mereka menetap di kawasan subur berhampiran tebing Sungai Langat dan berkemungkinan menjalankan aktiviti pertanian.

Penempatan mereka di kawasan berdekatan sungai dapat dibuktikan menerusi penemuan pendayung perahu yang menunjukkan banyak laluan sungai digunakan.

Anak keempat Allahyarham Mustafa, Mohd Zaki, 45, berkongsi sejarah ringkas kampung berkenaan dan kisah arwah bapanya menjumpai artifak berkenaan.

Katanya, Kampung Jenderam Hilir dibuka sekumpulan komuniti Jawa dari Sumatera dan Riau, Indonesia pada sekitar 1940-an.

“Mereka bekerja sebagai petani, pesawah, penoreh dan meneroka lokasi ini untuk dijadikan kawasan pertanian.

“Selepas kampung ini dibuka, ramai imigran dari China berhijrah ke sini (Kampung Jenderam Hilir).

“Ini kerana pada asalnya kampung ini adalah kawasan lombong bijih timah,” katanya.

Menurutnya, sejak itu ramai penduduk kampung bekerja di lombong berkenaan termasuk arwah bapanya yang ditugaskan sebagai penembak lombong.

Sebagaimana cerita yang dikongsikan arwah bapa, Mohd Zaki berkata, ketika arwah bapanya melakukan kerja menembak dinding lombong itulah dia menjumpai 19 artifak pelbagai jenis pada Zaman Neolitik itu.

“Peristiwa itu masih jelas dalam ingatan saya kerana secara tidak langsung turut terbabit apabila arwah bapa meminta daripada saya artifak berkenaan yang disaluti lumpur tebal sebelum menyimpannya.

“Ketika itu saya berusia sekitar enam tahun dan sering dimarahi arwah kerana gemar bermain artifak berkenaan yang disangka barangan mainan.

“Arwah mengatakan ia barangan berharga dan meminta saya menjaganya dengan baik sebelum diserahkan kepada Muzium Negara,” katanya.

Katanya, kisah Kampung Jenderam Hilir pernah disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu pada 1977 dan sangat wajar disiarkan semula bagi tujuan pendidikan kepada generasi muda supaya keistimewaan tapak warisan yang dianggap khazanah negara itu tidak dilupakan begitu saja.

Sementara itu pengkaji sejarah bebas Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir berkata, Kampung Jenderam Hilir penempatan manusia tertua di negara ini dan Asia Tenggara kerana usianya melebihi Lembah Bujang yang wujud sejak 400 Masihi.

Beliau berkata, terdapat beberapa dokumen kajian berkenaan Kampung Jenderam Hilir yang dihasilkan pengkaji tempatan dan antarabangsa yang membuat kajian awal di tapak berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, agak menyedihkan kerana nama Jenderam tidak direkodkan dalam mana-mana buku pelayaran lama oleh pelayar yang pernah datang ke Tanah Melayu.

“Saya pernah meneliti beberapa puluh karya Arab, Eropah dan China bertarikh 50 hingga 1,600 Masihi dengan tujuan mencari nama Langat, Jenderam dan lain-lain yang berkaitan.

“Namun, tiada langsung nama itu direkodkan dan inilah yang patutnya dibincangkan lanjut,” katanya.

Menurutnya, ini kerana Jenderam adalah satu lagi lokasi sejarah penting kepada negara yang perlu diberi tumpuan sewajarnya.

“Papan tanda mengatakan Kampung Jenderam Hilir adalah tapak penempatan paling tua di Malaysia dan Asia Tenggara perlu dipasang di kawasan berkenaan supaya orang ramai mengetahui kewujudannya,” katanya yang memberitahu tempat itu kini dibangunkan sebagai kawasan tadahan air.

Katanya, penghargaan perlu diberikan kepada orang yang menjumpai artifak berkenaan dan pengkaji Kampung Jenderam Hilir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:58 PM