KERJASAMA kumpulan untuk persiapan pendakian penting dalam aktiviti mendaki cerun.
KEMAHIRAN memegang batu atau rongga tembok penting ketika mendaki.
GUA Damai Extreme Park sentiasa mendapat perhatian pengunjung.
KEPERCAYAAN antara satu sama lain penting dalam mendaki tebing batu.
Hafiz Ithnin


Minggu lalu, ruangan ini memaparkan aktiviti ekstrem mendaki tembok tiruan yang biasanya banyak ditawarkan di dalam bangunan atau ‘indoor.’

Satu lagi segmen yang terkenal dalam kalangan pendaki yang penulis rungkaikan minggu ini ialah mendaki tembok batu asli atau dikenali sebagai ‘rock climbing.’

Abah-abah pendaki terlekap kemas di pinggang, tali dinamik dibawa naik dengan cukup berhati-hati dan beg kapur terletak di belakang pinggang pula ibarat bekal penting untuk jari serta tapak tangan tidak basah bermandi peluh ketika memegang rongga atau batu tembok.

Kadang-kala, kudrat empat tulang yang beraksi bersama menuju ke titik vertikal tiba di penghujungnya dan jatuh tergantung pada ketinggian ratusan meter menjadi perkara biasa dan paling utama setiap peralatan yang ‘mengikat’ tubuh menjadi penyelamat.

Mempunyai kemahiran untuk mendaki tembok batu asli adalah penting dan berbeza dengan mendaki tembok tiruan kerana permukaan tembok asli mempunyai pelbagai bentuk yang lebih sukar. Dalam kata lain, pendaki perlu bijak memilih rongga dinding atau batu untuk dicapai dan terus maju ke atas.

Dari segi ketinggian, aktiviti pendakian tembok batu lebih tinggi kerana setiap bukit atau gunung yang mempunyai dinding sesuai dan tidak rapuh membolehkan pendaki untuk menawannya.

Melihat kepada aktiviti pendakian cerun batu di luar negara misalnya, ada pendaki yang berani mendaki cerun gunung yang mempunyai ketinggian ribuan meter dari aras laut dan untuk menghabiskan aktiviti pendakian berkenaan, mereka juga perlu bermalam secara tergantung di tepi cerun.

Terdapat beberapa jenis pendakian antaranya ‘top rope’ iaitu pendaki akan mendaki cerun mengikut laluan yang ditetapkan,

tali untuk mendaki siap sedia dipasang hingga ke atas dan dibantu seorang pengawal tali mendaki (belayer) di bawah untuk membantu pendaki ketika mendaki serta turun dengan selamat.

‘Lead climbing’ pula memerlukan pendaki membawa tali ketika mendaki dengan bantuan pengawal tali di bawah. Pendaki perlu memasukkan tali dibawa untuk dimasukkan ke dalam pencangkuk atau ‘quickdraw’ yang dipasang pada cerun sekiranya lokasi berkenaan sudah komersial.

Bagi lokasi yang baru diterokai, persediaan peralatan seperti teknik memasang tali dan ‘quickdraw’ pada cerun biasanya dilakukan pendaki tembok batu profesional serta mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti berkenaan.

Aktiviti mendaki cerun batu sememangnya memerlukan kekuatan fizikal dan mental kerana bagi yang kali pertama mendaki sudah pasti berdepan kesukaran untuk melakukannya.

Ini kerana ketika mendaki kita memerlukan kekuatan tangan, kaki dan keseimbangan badan. Malah perlu melawan rasa gayat untuk terus maju ke atas.

Namun bagi mereka yang sudah biasa sampai ke tahap ‘lead climbing,’ terjatuh dan tergantung pada paras ‘quickdraw’ sudah menjadi perkara biasa.

LALUAN MENCABAR

Di Malaysia, aktiviti pendakian cerun batu mempunyai pengikut atau komuniti tersendiri kerana kita mempunyai bukit dan gunung yang sesuai untuk aktiviti berkenaan.

Paling terkenal adalah cerun di Gua Damai yang terletak di Batu Caves, Selangor. Cerun di situ yang berketinggian 100 meter mempunyai 120 laluan dengan pelbagai bentuk permukaan cerun yang mencabar tapi selamat untuk didaki.

Lokasi yang turut dikenali sebagai Gua Damai Extreme Park itu diuruskan syarikat perunding pendakian cerun profesional, Wira Adventure Consultant.

Aktiviti mendaki cerun batu di situ juga sentiasa mendapat perhatian orang ramai terutama golongan muda.

Ia dibuktikan menerusi rekod kunjungan orang ramai ke Gua Damai yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Penulis dimaklumkan Wira Adventure Consultant, setakat tahun lalu saja terdapat peningkatan 10,000 pengunjung ke lokasi itu menjadikan jumlah kunjungan keseluruhannya 28,120 orang.

Tahun ini pula dijangkakan peningkatan 20,000 pengunjung berbanding angka yang dicatatkan pada tahun lalu.

Unjuran angka berkenaan, bagi penulis mampu untuk dicapai memandangkan ketika sesi fotografi diadakan pada hari bekerja, kunjungan pendaki termasuk dari negara asing sangat menggalakkan.

Malah, aktiviti pendakian di sini juga sentiasa diawasi syarikat berkenaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kemalangan. Setiap pendaki pula perlu dilengkapi peralatan keselamatan untuk mendaki.

Tidak ketinggalan, bagi mereka yang baru dan ingin mencuba aktiviti ini di Gua Damai, tidak perlu risaukan peralatan untuk mendaki kerana terdapat pakej pendakian disediakan merangkumi keperluan peralatan serta jurudaki profesional.

Pengasas Wira Adventure, Mustapha Al Bakri Omar berkata, Gua Damai Extreme Park yang beroperasi sekitar 20 tahun lalu itu sememangnya menjadi lokasi paling popular di Malaysia.

“Orang ramai yang berminat untuk melakukan aktiviti ini boleh datang sama ada dalam kumpulan atau individu kerana di Gua Damai Extreme Park kami mempunyai kru yang berpengalaman untuk membantu melakukan aktiviti ini.

“Kami sentiasa memerlukan orang baru yang minat aktiviti sukan lasak untuk terbabit dalam pendakian cerun batu atau cerun kerana mereka akan dapat membantu membesarkan komuniti pendaki di Malaysia,” katanya.

Mustapha berkata, Malaysia yang kaya dengan khazanah alam semula jadi terutama gunung dan bukit boleh mewujudkan lokasi pendakian cerun untuk orang ramai, sekali gus menjadi destinasi pelancongan negara.

“Bagi saya memandangkan aktiviti mendaki tembok semakin mendapat perhatian, sudah tiba masanya untuk kita luaskan lagi kawasan aktiviti ini di Malaysia khususnya di Selangor kerana di kawasan Batu Caves terdapat lima lokasi berpotensi untuk dibangunkan.

“Saya juga berharap pihak kerajaan dapat membantu untuk membangunkan lokasi yang berpotensi kerana komuniti pendaki cerun di Malaysia semakin meningkat dan tidak mustahil pada masa depan negara mampu menjadi hab pelancongan pendakian cerun antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 12:52 PM