KARYA Orang Ikan Masin ini dihasilkan menggunakan lima kilogram ikan masin.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Unik dan menarik. Itu antara pandangan pertama penulis sebaik saja melihat dua karya di salah satu ruang Pameran Alegori: Ekspresi Seni Kontemporari Berasaskan Manuskrip Melayu di Galeri Petronas, KLCC.

Walaupun hanya menggunakan ikan masin dan asam keping sebagai medium utama, dua karya yang dipaparkan ternyata menyerlahkan kreativiti pelukis, Samsudin Wahab.

Dua karya bertajuk Orang Ikan Masin dan Orang Asam Keping itu mampu memukau tumpuan kerana jika dilihat dari jauh bagaikan patung biasa.

Namun apabila menghampiri karya itu, anda pasti mengalami dua ‘kejutan’ iaitu terhidu bau ikan masin dan asam keping selain melihat rupa sebenar patung berkenaan yang ditampal dengan dua medium terbabit.

Samsudin berkata, dia memilih menggunakan dua medium itu kerana mahu mencari dimensi baru bagi menjelaskan sesuatu karya kepada masyarakat untuk menilai dan memahami maksud tersirat di sebaliknya.

“Karya ini sebenarnya mendapat inspirasi daripada ungkapan ikan di laut, asam di darat, di dalam belanga bertemu juga.

“Walaupun ungkapan itu lebih merujuk kepada jodoh, tetapi ia turut mempunyai kaitan dengan hubungan masyarakat yang saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, dia menggunakan lima kilogram (kg) ikan masin dan asam keping untuk menzahirkan karya terbabit yang dihasilkan pada 2016.


SAMSUDIN

Pada masa sama, pameran berkenaan menghimpunkan 10 karya yang masing-masing membabitkan lima pelukis tempatan dan Asia Tenggara lain seperti Awwin Reamillo (Filipina), Htein Lin (Myanmar), Nasirun (Indonesia), Nguyen Phuong Linh (Vietnam) dan Tita Rubi (Indonesia).

Pameran yang berlangsung dari 14 Disember 2017 hingga 4 Februari ini turut mempamerkan 19 manuskrip asal Melayu dan 20 artifak luar biasa Melayu dirasmikan serentak dengan Pelancaran Penerbitan Buku Alegori: Ekspresi Seni Kontemporari Berasaskan Manuskrip Melayu oleh Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan.

Sidek berkata, pameran berkenaan adalah siri ketiga yang me­ngulas berkenaan tema ‘Insan al kamil’ yang menampilkan konsep akhlak, ilmu dan amal, rangkuman elemen penting untuk difahami dan dihayati supaya kemajuan teknologi, perkembangan budaya serta masyarakat selari dalam konteks adil lagi saksama.

Katanya, Alegori seperti tajuk yang ditafsir dan mengemukakan fungsi metafora sebagai alatan lingustik untuk menjelmakan imej dalam pemikiran masyarakat bagi menyampaikan maksud tersirat.


ANTARA karya lain yang dipamerkan.

PAMERAN ALEGORI: EKSPRESI SENI KONTEMPORARI BERASASKAN MANUSKRIP MELAYU

• ARTIS: 5

• KARYA: 10

• LOKASI: Galeri Petronas, Tingkat 3 KLCC

• TARIKH: 14 Disember 2017 hingga 4 Februari 2018

• MASA: 10 pagi hingga 8 malam (Selasa hingga Ahad), Isnin (tutup)

• LAMAN WEB: www.galeripetronas.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 1:30 AM