KELLIE-SHEA (kanan) menerima replika cek daripada Yong (dua dari kiri) disaksikan Guru Besar SKJC St James, Chee Chi Hiung (kiri), Penolong Kanan 1 SJKC St James, Hiew Mei Ping (tiga dari kiri) dan Unit Bahasa Inggeris PPD Kota Kinabalu, Cynthia C James (dua dari kanan).
KELLIE-SHEA (kanan) menerima replika cek daripada Yong (dua dari kiri) disaksikan Guru Besar SKJC St James, Chee Chi Hiung (kiri), Penolong Kanan 1 SJKC St James, Hiew Mei Ping (tiga dari kiri) dan Unit Bahasa Inggeris PPD Kota Kinabalu, Cynthia C James (dua dari kanan).
Fazurawati Che Lah


Dua pelajar dari Sabah muncul pemenang utama dalam pertandingan Oxford Big Read yang diadakan sempena sambutan Ulang Tahun ke-60 Oxford Fajar, baru-baru ini.

Kellie-Shea Leigh CW Debbie, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) St James, Kota Kinabalu dan Chloe Lee, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Francis Convent, Kota Kinabalu masing-masing adalah pemenang dalam Kategori 1 (berumur 10 hingga 12 tahun) dan Kategori 2 (berumur 13 dan 14 tahun).

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM2,000 sementara sekolah mereka pula menerima buku yang bersamaan dengan ketinggian fizikal pemenang. Hadiah kemenangan disampaikan Pengurus Kanan Pemasaran Oxford Fajar Malaysia Sdn Bhd, Yong Ching Sze.

Lebih membanggakan, kemenangan Kellie-Shea dan Chloe adalah menerusi karya bertajuk The Blue Batik serta Tales From the Arabian Nights.

Pertandingan itu memerlukan mereka menyerahkan karya seni kreatif yang menggambarkan aspek cerita berdasarkan tajuk buku yang dibaca.

Ia juga disertai cadangan bernas berkenaan apa yang mereka gemari dalam cerita itu dan mengapa orang lain perlu membacanya.

Bagi cabaran itu, pek bahan bacaan disediakan untuk sekolah berdaftar.

CHLOE (kanan) bersama replika wang tunai RM2,000 diserahkan Yong (kiri) dan disaksikan Pengetua SMK St Francis Convent, Chong Shat Muai.
CHLOE (kanan) bersama replika wang tunai RM2,000 diserahkan Yong (kiri) dan disaksikan Pengetua SMK St Francis Convent, Chong Shat Muai.

Peserta perlu memilih dan membaca sekurang-kurangnya satu bahan yang sesuai dengan umur daripada mana-mana siri Oxford Fajar atau Oxford University Press.

Pertandingan Oxford Big Read yang pertama berlangsung dari 1 September hingga 15 Oktober tahun lalu dan menerima sejumlah 1,897 penyertaan.

Piala dan sijil pencapaian juga dianugerahkan kepada SMK Labuan yang mencatatkan bilangan penyertaan tertinggi.

Pengarah Urusun Oxford Fajar, Sharmini Nagulan berkata, pertandingan itu mendapat sambutan baik dan pihaknya gembira dengan keputusan diperoleh.

“Idea di sebalik pertandingan ini untuk memotivasikan pelajar dalam meningkatkan kemahiran membaca dalam bahasa Inggeris dan memupuk kreativiti.

“Ia juga bertujuan mendorong dan menggalakkan pelajar untuk mempertimbangkan apa yang mereka baca, menyatakan pendapat atau pemikiran ke arah lebih tinggi,” katanya.

Sebelum pertandingan Oxford Big Read, Oxford Fajar turut menganjurkan pertandingan penulisan kreatif Oxford Big Write yang terbuka kepada pelajar berumur 15 hingga 19 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 2:17 PM
Digital NSTP Subscribe