LOGO Machinoeki yang akan digunakan di Malaysia.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Jepun antara negara yang cukup terkenal dengan kecanggihan teknologinya hingga dikagumi pelbagai pihak.

Malah negara matahari terbit itu mampu memberikan impak yang besar kepada dunia termasuk Malaysia menerusi evolusi pelbagai teknologinya.

Tidak hairanlah ramai penyelidik dari universiti awam di negara ini turut menjadikan Jepun sebagai medan menjalankan kajian bagi membangunkan teknologi sama di Malaysia.

Dalam menyahut cabaran itu, sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) bakal melaksanakan Hentian Komuniti selepas tertarik dengan konsep Machinoeki yang dilaksanakan di negara itu.

Konsep Machinoeki diasaskan penyelidik Jepun, Eiji Tanaka, pada 2002 bertujuan memulihkan pusat bandar kurang maju dengan mewujudkan persekitaran mesra untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.

‘Machi’ bermaksud bandar atau komuniti, sementara ‘eki’ pula bermakna stesen. Konsep itu menarik orang ramai untuk berjalan, berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam supaya boleh berehat seketika, mendapatkan maklumat sambil bersosial dengan penduduk setempat dalam suasana santai.

Penyelidik utama projek itu, Dr Yong Adilah Shamsul Harumain berkata, kelebihan utama pelaksanaan konsep Machinoeki ialah tiada keperluan terhadap pembinaan kemudahan baru.

Katanya, mana-mana kemudahan yang sedia ada, sama ada kedai, muzium, hospital, sekolah atau dewan bandar, boleh dijadikan sebuah Machinoeki.


ANTARA premis di Jepun yang melaksanakan konsep Machinoeki.

Machinoeki menurutnya hampir menyamai konsep hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya walaupun ada perbezaan tertentu. Perbezaan paling ketara adalah lokasi dan sasaran.

“Kawasan rehat dan rawat terletak di sepanjang lebuh raya dan disediakan khas untuk pengguna lebuh raya itu saja di samping memerlukan pembinaan bangunan serta kemudahan khusus.

“Sebaliknya bagi Machinoeki, ia adalah sebuah konsep stesen komuniti, iaitu disediakan untuk pengguna yang berjalan, berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam.

“Kelebihan konsep ini ialah tidak semestinya memerlukan pembinaan kemudahan baru. Apa jua kemudahan yang sedia ada, sama ada kedai, muzium, hospital, sekolah atau dewan bandar, boleh dijadikan Machinoeki,” jelasnya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina UM berkata, kit standard yang diperlukan untuk memulakan Machinoeki hanyalah papan tanda biasa, ruang rehat dan tandas percuma serta panduan berkenaan kawasan setempat.


BARANGAN dan produk tempatan turut dijual di premis Machinoeki Jepun.

“Elemen Machinoeki yang paling penting ialah keramahan tuan rumah mengalu-alukan pelawat.

“Sifat ini dipanggil omotenashi yang menjadi terkenal di seluruh dunia ketika pembentangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa di Buenos Aires untuk memilih Tokyo sebagai tuan rumah temasya sukan berkenaan pada 2020,” katanya.

Berkenaan cadangan pelaksanaan konsep Machinoeki di Malaysia, pada peringkat awal ini, kumpulan penyelidik UM itu akan memberi fokus kepada bangunan warisan.

Seorang lagi penyelidik terbabit, Dr Nikmatul Adha Nordin berkata, statistik kajian inventori bangunan warisan dijalankan Muzium Negara pada 1992 menunjukkan terdapat 35,000 bangunan warisan di Malaysia.

Beliau berkata, bangunan warisan perlu dipulihara bagi memastikan generasi masa depan dapat menghargai dan memahami sejarah negara, tambahan pula dalam keadaan pembangunan pesat yang menyaksikan kemunculan banyak pencakar langit baru.

“Kami mendapati generasi muda kurang menghargai bangunan bersejarah dan memahami elemen sejarah pada bangunan warisan.

“Antara punca utama ialah kurangnya interaksi dan aktiviti yang berlaku di dalam bangunan warisan itu.

“Peratusan penggunaan kenderaan persendirian yang tinggi dan kurangnya pejalan kaki juga dikenal pasti sebagai faktor yang menjarakkan hubungan antara penduduk dengan bangunan,” katanya.


YONG ADILAH (tengah), Dr Nur Farhana (kiri) dan Dr Nikmatul Adha (dua dari kiri) bersama penyelidik di Jepun yang melaksanakan konsep Machinoeki.

Beliau berkata, kumpulan penyelidik itu bakal memulakan pelaksanaan konsep Machinoeki di Taiping, Perak berikutan kewujudan pelbagai bangunan warisan.

“Perbincangan awal antara penyelidik dengan Majlis Perbandaran Taiping, wakil pemilik bangunan warisan di Taiping dan Persatuan Machinoeki Jepun sudah diadakan baru-baru ini,” katanya.

Pelaksanaan konsep itu di luar Jepun mendapat kerjasama penuh Yayasan Sumitomo untuk membantu sebarang usaha memulihara bangunan bersejarah di dalam mahupun luar negara matahari terbit itu.

Penyelidik bersama projek, Dr Nur Farhana Azmi berkata, kajian dijadualkan berakhir pada Mac depan itu akan mengenal pasti sejauh mana konsep Machinoeki dapat membantu memulihara bangunan warisan melalui pembabitan masyarakat setempat menerusi fungsi Hentian Komuniti di Malaysia.


GALERI Perbandaran Taiping antara premis yang dikenal pasti untuk pelaksanaan konsep Machinoeki.

“Pengenalan konsep ini di Malaysia dianggap mencabar dari segi perbezaan budaya dan amalan berbanding penduduk Jepun.

“Bagaimanapun, matlamat utama ialah memupuk perpaduan dan jalinan erat dalam masyarakat, selain menanam perasaan tanggungjawab penduduk setempat terhadap pembangunan komuniti mereka tanpa mengharapkan bantuan.

“Secara tidak langsung kajian ini akan melihat sama ada usaha pemuliharaan bangunan warisan di Malaysia boleh bermula daripada komuniti sendiri atau tidak,” katanya.


MUZIUM Taiping juga antara perancangan projek Machinoeki

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 2:31 PM