MUHAMAD Nazri (tiga dari kiri) meraih tempat kedua dalam kejuaraan di Cancun.
Shuhada Mansor
rencana@hmetro.com.my


Tujuh tahun memegang status juara peringkat Asia dalam sukan meluncur arus, Muhamad Nazri Salim, 25, menganggap itu bukan satu pencapaian yang membuatkan dia berada pada tahap selesa.

Mengimpikan untuk menggenggam gelaran juara dunia membuatkan dia terus berusaha keras bagi merealisasikan impiannya itu.

“Bersaing dengan pemain lain yang berkebolehan adalah satu cabaran besar yang harus saya tempoh.

“Namun dengan latihan mencukupi dan teknik yang betul, tidak mustahil satu hari nanti saya mampu menjadikan impian itu realiti,” katanya.

Nazri berkata, walaupun sibuk dengan kerjayanya sekarang, dia memperuntukkan masa sekurang-kurangnya dua jam untuk berlatih selama empat kali seminggu.

“Tahun lalu, dalam kejohanan peringkat dunia kategori flowrider saya mendapat tempat kedua dan tempat keempat bagi kategori bodyboard di Cancun, Mexico.

“Pastinya, saya mengimpikan untuk menggenggam gelaran juara dunia dan saya yakin boleh lakukan,” katanya yang kini bekerja sebagai Pengurus Bahagian Tarikan Sukan Luncur di Pattaya, Thailand.

Nazri berkata, untuk berada di peringkat sekarang, banyak jatuh bangun yang sudah dilaluinya hingga membabitkan kecederaan fizikal.

“Walaupun saya tahu risiko tetap ada di setiap latihan dan pertandingan, namun saya anggap ia sebagai cabaran. Segala penat lelah terbayar apabila berjaya menawan gelaran juara,” katanya yang membabitkan diri secara serius dalam sukan luncur arus sejak 2011.

“Saya dapat tahu ada sukan luncur arus di Malaysia apabila Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor menawarkan aktiviti berkenaan.

“Waktu itu, belum ramai tahu pasal sukan ini dan boleh dikatakan saya serta beberapa rakan antara yang terawal mencubanya.

“Pada mulanya, terjatuh ketika meluncur adalah perkara biasa. Tapi lama-kelamaan, apabila dapat

kawal imbangan badan, pergerakan gelombang arus dirasakan sesuatu yang menyeronokkan dan ia secara tidak langsung mengajar kita untuk terus mencuba,” katanya.

Katanya, aktiviti meluncur arus ini boleh dikatakan agak baru di Malaysia namun mempunyai peminat tersendiri.

“Pada pendapat saya, bagi melahirkan lebih ramai peluncur arus bertaraf antarabangsa, kemudahan perlu diperbanyakkan termasuk tempat latihan.

“Saya setuju jika ada yang mengatakan ia antara sukan atau aktiviti mahal kerana peralatan dan latihannya saja memerlukan belanja tinggi,” katanya.

Berbekalkan pengalaman yang ada, Nazri berhasrat untuk menjadi jurulatih kepada pelapis muda yang ingin menceburkan diri dalam sukan ini.

“Luncur arus bagi saya antara sukan ekstrem yang santai. Ia mampu memberikan kepuasan berbeza.

“Bagi yang berminat, tak salah untuk memulakannya sebagai hobi dan pada masa sama mantapkan kemahiran dengan latihan berterusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 3:50 AM