SEBAHAGIAN ahli Flowmobster selepas sesi latihan di Flowrider di One Utama.
AHLI Flowmobster kerap berlatih untuk meningkatkan kemahiran meluncur arus.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Bermula hanya sebagai rakan sembang menerusi aplikasi WhatsApp sejak lima tahun lalu, Flowmobster kini mempunyai lebih 40 ahli.

Flowmobster ialah komuniti tempatan yang aktif dalam aktiviti meluncur arus. Malah, lebih separuh daripada ahlinya menyertai kejohanan di peringkat serantau.

Lebih membanggakan, ahli Flowmobster bukan calang-calang kerana setiap kejohanan yang disertai pasti melayakkan mereka menduduki tangga terbaik di pentas podium.

Menariknya, ada antara ahli Flowmobster yang terus mara menyertai kejohanan meluncur arus untuk peringkat dunia bagi menimba pengalaman bersaing dan menilai kemampuan beraksi dengan bakat dunia.

Pengurus Kumpulan Flowmobster, Megat Ritzwan Mohd Shahfaruddin atau lebih dikenali sebagai Kaka berkata, komuniti peluncur arus di Malaysia tidak ramai dan Flowmobster adalah satu-satunya komuniti yang menggabungkan individu berminat dalam aktiviti berkenaan.

Katanya, sebelum ini kebanyakan mereka yang menyertai aktiviti itu hanya bergerak secara individu dan dengan adanya komuniti ia membantu dari segi sokongan latihan dan mempromosikan lokasi luncur arus di Malaysia.

“Sebelum ini, kami hanya berlatih di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor, tetapi terhad memandangkan ia adalah taman tema dan bukan khusus untuk kami yang mahu menjalani latihan sebagai persediaan menyertai kejohanan.

“Apabila ada FlowRider di pusat beli-belah One Utama khusus untuk aktiviti meluncur arus, ia satu petanda baik bagi ahli Flowmobster untuk lebih aktif dalam kegiatan ini,” katanya.

Menurutnya, Flowmobster juga melihat, syarikat yang mewujudkan kemudahan meluncur arus perlu bersama-sama menyokong mempromosikan aktiviti ini kepada orang ramai.

Megat Ritzwan berkata, sekiranya lebih ramai orang menyertai aktiviti ini, ia dapat membantu Malaysia menggilap bakat baru untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

“Ramai tidak tahu kedudukan peserta Malaysia dalam kejohanan dunia meluncur arus setanding negara lain.

“Sekiranya lebih ramai rakyat tempatan menjadikan aktiviti secara serius, sudah tentu kita mampu popular sebagai negara yang mempunyai bakat besar dalam sukan meluncur arus.

“Kami sangat mengalu-alukan anda yang berminat dengan aktiviti ini untuk menyertai Flowmobster terutama wanita yang masih kurang pembabitannya,” katanya.

Tambahnya, sekiranya Malaysia membuka lebih banyak lokasi meluncur arus, ia juga boleh menghimpunkan lebih ramai bakat tempatan dan asing.

Sekali gus menjadikan negara ini sebagai hab latihan atau penganjur sendiri menjadikan Malaysia sebagai lokasi kejohanan dunia.

Menurut Megat Ritzwan, tidak mustahil pada masa depan, aktiviti meluncur arus dipertandingkan di dalam Sukan Olimpik kerana ketika ini penganjurannya kejohanan begitu aktif bergerak mengikut rantau.

“Menerusi kemudahan tempat latihan yang banyak, sokongan syarikat korporat dan penyertaan bakat baru, tidak mustahil pada masa depan kita mampu mendominasinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 3:56 AM