KARYA terbaru Zulkifli bertajuk Ikan Arowana Merah yang dipamerkan dalam Pameran Seni dan Perhiasan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Pelukis ini dikenali kerana identiti tersendiri apabila sering menonjolkan karya menggunakan medium cat air dan menghasilkan banyak lukisan pemandangan serta bangunan.

Namun pada kali ini Zulkifli Yasin atau lebih dikenali dengan Abey Zoul membuat kelainan dengan menampilkan karya yang mengenengahkan siri ikan arowana yang memukau pengunjung.

Karya itu menjadi tarikan dalam Pameran Seni dan Hiasan di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), baru-baru ini.

Pameran berkumpulan itu menghimpunkan 600 karya daripada 80 artis baru dan berpengalaman tanah air.

Zulkifli berkata, beliau mempersembahkan 30 kerja seninya yang menggunakan medium cat air dan akrilik dalam pameran berkenaan.


ZULKIFLI bersama sebahagian hasil seni yang dipamerkan.

“Semua lukisan dipamerkan ini lebih kepada eksplorasi teknik yang menonjolkan gaya cat air sepanjang pembabitan saya dalam bidang itu.

“Ini karya terbaru saya yang disiapkan dua bulan lalu bertajuk Ikan Arowana Merah,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, beliau memilih ikan itu kerana ia dianggap sebagai spesies perhiasan yang ekslusif, bermutu tinggi dan digemari masyarakat Cina.

“Selain itu, ikan ini dipercayai dapat memberi semangat, kekuatan dan keberanian dalam kalangan masyarakat terbabit.

“Teknik lukisan ini menonjolkan gaya kontemporari dari segi warna dan komposisi ikan itu dalam karya dihasilkan,” katanya yang mengakui gaya lukisan berkenaan lebih bersifat bebas.


ZULKIFLI melayan pengunjung datang ke pamerannya.

Dalam pada itu Zulkifli berkata, sejak terbabit secara serius dalam bidang terbabit beliau tidak berhenti menghasilkan karya berkualiti dan menarik.

Terbaru beliau menghasilkan buku bertajuk Teknik Cat Air yang diterbitkan dengan kerjasama Balai Seni Negara dan pelukis Wan Borhanuddin Md Noor.

“Buku ini adalah yang pertama dihasilkan dalam bahasa Inggeris untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Ia memberi lebih fokus kepada lima cabang iaitu lukisan bandar, landskap, kontemporari, abstrak dan potret,” katanya.


ZULKIFLI menunjukkan buku Teknik Cat Air yang dikeluarkannya.

Sementara itu Pengarah Projek Nor Azmi Sulong berkata, tujuan pameran itu diadakan ialah untuk menyediakan platform baru kepada pelukis bagi mempamerkan hasil seni mereka.

“Menariknya Pameran Seni dan Hiasan itu bukan hanya mempamerkan lukisan semata-mata tapi perhiasan lain seperti bonsai dan kayu.

“Ini adalah pameran julung kali diadakan dan berhasrat menjadikannya sebagai acara tahunan di samping menarik lebih ramai peserta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 9:39 AM