BARISAN finalis Hadiah Guru Global, Yasmin Noorul Amin (bermula dua dari kiri), Noorjahan, Mohd Sirhajwan dan Vanesri Kasi bersama moderator, Dr Ghazali Taib (kiri) dalam program Bicara Inovasi.
HM Digital

Keikhlasan dan kesungguhan mencari jalan penyelesaian dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) mendorong guru mencipta inovasi biarpun kecil, namun cukup bermakna kepada anak didik mereka serta dunia pendidikan.

Selain itu, kreativiti dan menggunakan istilah yang lebih santai serta mengikut penguasaan bahasa dikuasai pelajar antara ciri-ciri pendidik yang dapat menarik minat untuk terus menghasilkan sesuatu PdPc berkualiti selain berkesan.

Kreativiti itu antara resipi kejayaan empat finalis Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang berkongsi kejayaan dan pengalaman mereka mencipta inovasi khusus untuk pelajar masing-masing untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Mereka ialah Mohd Sirhajwan Idek dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah; Yasmin Noorul Amin dari SMK La Salle, Kuala Lumpur; Vanesri Kasi dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Khalidi, Muar; Johor dan Noorjahan Sultan dari Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang yang menjadi ahli panel Bicara Inovasi sempena Hari Inovasi Institut Pendidikan Guru (IPG) 2018 di IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi Noorjahan yang tersenarai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global 2016, tiada tuntutan daripada mana-mana pihak untuk menghasilkan inovasi kerana semuanya atas kerelaan sendiri. Situasi itu dilihat sebagai keperluan dan kekurangan di mana-mana untuk diselesaikan walaupun impaknya kecil.

"Biarpun ada kekangan dalam menghasilkan inovasi naluri semula jadi pendidik yang sentiasa mahukan kaedah baru khususnya untuk anak didik masing-masing, semuanya dapat diatasi dengan baik," katanya yang mencipta sejarah memenangi Anugerah Pearson English Language Teaching (ELT) Teacher Award 2018 kategori Asia dan Oceania, baru-baru ini.

Mohd Sirhajwan yang tersenarai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global 2017 pula berkata, setiap individu ada potensi mereka sendiri dan pendidik boleh mencungkil bakat pelajar sejak awal lagi.

Katanya, tidak semua pelajar hebat dalam akademik dan cemerlang dalam pelajaran. Atas sebab itulah beliau sering menggalakkan anak didik supaya menyertai mana-mana pertandingan semata-mata untuk mengutip pengalaman.

"Daripada pengalaman itu akan membentuk kemahiran insaniah termasuk komunikasi dan pembentukan personaliti diri yang boleh menyeimbangkan kekuatan serta kekurangan dalam bidang akademik," katanya.

Mohd Sirhajwan mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School di Paris pada September 2017.

Anak Bajau kelahiran Kota Belud itu sekali lagi mencipta sejarah di peringkat antarabangsa apabila menjuarai anugerah Community Award for Citizenship sempena Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards di Dubai pada 28 Februari lalu.

Beliau turut layak ke final [Outstanding Contribution in Education Award' sempena GESS berikutan pencapaiannya sebagai guru di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, finalis Hadiah Guru Global 2015, Yasmin Noorul Amin pula berkata, penggunaan perkataan santai dan memenuhi kehendak bahasa dikuasai pelajar juga antara faktor yang menyumbang kejayaan PdPc.

"Perkataan 'go shopping' ketika mengambil peralatan radas di makmal, 'bermain' untuk murid tahap satu dan tugasan menggantikan kerja sekolah memberikan impak positif kepada murid untuk terbabit dalam aktiviti PdPc di kelas," katanya.

Vanesri Kasi yang layak ke peringkat 50 finalis Hadiah Guru Global 2016 pula menggunakan tahap penguasaan bahasa pelajarnya dalam PnP supaya mereka rasa seronok dan santai, bermakna aspek PdPC tetap dilaksanakan cuma menggunakan strategi yang lebih fleksibel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 2:13 PM