HAFIZ Afiff bersama ibunya.
Faizatul Farhana Farush Khan

Pesanan arwah ayahnya supaya belajar bersungguh-sungguh, menjadi pembakar semangat kepada Hafiz Afiff Mohd Chung Choon Ted, 24, menggapai kecemerlangan dalam pengajian sehingga menerima Mohd Shukri Yajid Outstanding Award pada Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) Ke-22, baru-baru ini.

Graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Bioinformatik MSU itu berkata, biarpun amat bersedih dengan ketiadaan ayah yang meninggal dunia hampir tiga tahun lalu akibat kanser hati, dia cekalkan diri untuk menggenggam segulung ijazah demi menggembirakan ibu, Afifah Nawawi, 47.

Katanya, sebagai anak tunggal, dia memikul tanggungjawab besar untuk menggapai kejayaan dalam pelajaran dan memiliki kerjaya kukuh bagi menjamin kehidupan keluarga yang lebih baik.

“Memang sukar belajar selepas ayah meninggal kerana perasaan saya sedih dan kewangan juga terhad. Berbekalkan simpanan ayah yang dahulu bekerja sebagai mekanik, selain saya sendiri bekerja separuh masa selepas tamat kuliah sebagai penghantar barangan dan pembantu acara, saya menampung pengajian,” katanya.

Anak muda berasal dari Sarawak ini berkata, beliau bertuah kerana melanjutkan pengajian di MSU yang bukan saja menitikberatkan pencapaian akademik mahasiswa, tetapi juga prestasi kokurikulum dan kemahiran insaniah supaya mereka menjadi graduan terbaik.

Hafiz Afiff berkata, pada peringkat awal kemasukan, beliau memilih universiti terbabit selepas menamatkan pengajian pada peringkat A Level kerana kursus Bioinformatik ditawarkan di situ menarik minatnya.

Katanya, pengalaman mengikut pengajian di situ mewujudkan keselesaan dalam dirinya apabila universiti terbabit mewujudkan suasana pembelajaran umpama sebuah keluarga besar, sekali gus membuatkannya lebih yakin membabitkan diri secara aktif dalam program, semangat belajar dan tidak malu bertanya pensyarah.

“Sebagai pelajar, saya mensyukuri peluang mengikuti pengajian di menara gading dengan memberikan fokus penuh ketika pengajaran di kelas dan sering meminta bantuan pensyarah menunjuk ajar jika kurang faham sesuatu topik.

“Usaha MSU menyediakan kemudahan pembelajaran moden, seperti perpustakaan dan makmal komputer, memudahkan pelajar membuat rujukan, menyiapkan tugasan serta mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 12:51 AM
Skip this ad x