GUNUNG Keriang lokasi terakhir yang direkodkan untuk kelawar lekagul di Semenanjung Malaysia pada 1982
Fazurawati Che Lah

Sekumpulan penyelidik dari Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM) yang diketuai Prof Madya Dr Rosli Ramli bekerjasama dengan rakan penyelidik dari Universiti Pertanian China, Beijing, untuk merekodkan keseluruhan spesies kelawar di Semenanjung Malaysia.

Penyelidik, Lim Voon Ching berkata, usaha pertama kali itu bakal memberi impak yang besar, terutama dari aspek pemuliharaan dan kelestarian biodiversiti negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, senarai spesies kelawar yang disediakan sebelum ini terhad kepada kawasan tertentu seperti Pusat Perlindungan Hidupan Liar Krau, Pahang dan Hutan Simpan Ulu Gombak, Selangor atau menjangkau kawasan yang lebih luas, seperti Indochina.

LIM memeriksa contoh spesies kelawar yang diperangkap bagi tujuan penyelidikan

“Senarai yang lengkap dan khusus untuk Semenanjung Malaysia terutama kehadiran spesies di lokasi tertentu sangat diperlukan jika ingin menjalankan sebarang usaha pemuliharaan kelawar pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, selain penelitian rekod sejak kurun ke-19 hingga kini, penyelidik juga menghabiskan masa mendapatkan sampel dan contoh spesies kelawar di pelbagai lokasi.

“Hasilnya, kumpulan penyelidik berjaya menyenaraikan sekurang-kurangnya 110 spesies kelawar yang boleh didapati di Semenanjung Malaysia.

KELAWAR kepak panjang (Taphazous longimanus) direkodkan untuk kali pertama di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Krau.

“Terdapat tujuh spesies yang dijumpai hanya sekali dalam keseluruhan rekod, termasuk kelawar kupu-kupu (Kerivoula picta) dan ‘Marshall’s horseshoe bat’ (Rhinolophus marshalli).

“Ia kemungkinan besar menunjukkan kepupusan spesies atau keperluan kepada usaha pemuliharaan yang segera,” katanya.

Katanya, terdapat 18 spesies kelawar yang rekodnya hanya dijumpai sebelum 2000, menandakan pengurangan jumlah populasi yang boleh disebabkan pelbagai faktor.

Sementara itu, Dr Rosli berkata, penyelidikan itu juga membuktikan sesetengah spesies kelawar hanya mendiami beberapa kawasan yang khusus seperti gua, bukit batu kapur, pulau, gunung dan hutan simpan.

KELAWAR ladam muka kuning (Rhinolophus trifoliatus) direkodkan berada di kawasan hutan paya bakau di Semenanjung Malaysia.

Katanya, proses urbanisasi, pertanian moden dan pembangunan yang drastik dilaporkan sebagai faktor utama pengurangan habitat yang sesuai untuk keluarga kelawar ini.

“Selain penyenaraian rekod spesies, kumpulan kami juga menyumbang kepada usaha penyelidik sedunia dalam melengkapkan maklumat untuk sistem ‘Barcode of Life Datasystems’ (BOLD).

“Sistem ini pangkalan data untuk kod bar DNA semua hidupan yang ada di dunia. Menerusi penyelidikan yang kami jalankan, lebih 60 spesies kelawar belum dimasukkan kod barnya ke dalam sistem BOLD. Ini menunjukkan keluasan kepelbagaian biodiversiti yang ada di negara kita,” katanya.

LIM melakukan uji kaji DNA ke atas sampel spesies kelawar yang dikehendaki.

Penyelidikan itu membuktikan kepentingan usaha berterusan dalam menentukan kewujudan atau kepupusan spesies kelawar yang lain di Semenanjung Malaysia selain mengenal pasti kawasan tertentu untuk kerja pemuliharaan yang mungkin diperlukan untuk spesies kelawar di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 12:19 PM