SEBAHAGIAN guru bergambar kenangan.
Suzaini Sulaiman
cnews@nstp.com.my


Setiap guru bukan saja perlu mahir dalam bidang akademik, tetapi mereka harus mempunyai kemahiran menjadi penyelamat sebagai persediaan ketika berlaku kecemasan.

Menyedari pentingnya ilmu itu, lebih 30 guru penyelaras Kadet Angkatan Pertahanan Awam (APM) dari 12 sekolah di daerah ini mengikuti kursus asas pertahanan awam selama dua hari yang berakhir petang tadi di pejabat Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Selangor, baru-baru ini.

Sepanjang kursus itu, pelbagai kemahiran diajar termasuk pengenalan pasukan pertahanan awam, latihan kawad kaki, asas pertolongan cemas, asas ikatan simpulan, bantuan pernafasan (CPR), teknik memadamkan kebakaran dan teknik menyelamat kecemasan.

Setiap guru diajar secara teori dan praktikal bagaimana mengendalikan kes kecemasan seperti kemalangan atau merawat mangsa sebelum dibawa ke hospital.

Penyelaras program, Mohd Shawaluddin Zainal berkata, kursus asas itu perlu dijalani untuk melayakkan seseorang guru menjadi anggota APM seterusnya melatih anggota kadet di sekolah masing-masing.

“Walaupun latihan yang diberikan adalah di peringkat asas, saya yakin setiap guru yang hadir dapat memanfaat yang sebaiknya selain terus mempelajari ilmu menyelamat ini dari semasa ke semasa.

“Saya yakin ilmu yang diperoleh bukan saja dapat membantu mereka yang memerlukan, tetapi secara tidak langsung memberikan semangat kerjasama dan sentiasa bersiap sedia sekiranya berlaku musibah,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 2:09 PM