KANAK-KANAK perempuan juga mempunyai minat dalam aktiviti memanah.
PELAJAR Sekolah Rendah Islam Nurul Hidayah menunjukkan gaya memanah masing-masing.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Masing-masing baru berusia kurang 12 tahun, namun aksi mereka yang penuh berdisiplin dari segi aturan gerak-geri badan dan cara melepaskan anak panah sememangnya boleh dipuji kerana begitu tertib serta tidak mudah hilang fokus ketika memanah.

Aktiviti memanah dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia bukan sesuatu yang baru memandangkan ada pihak sekolah yang menganjurkannya secara rekreasi di dalam kokurikulum.

Malah, ada juga sekolah swasta seperti pusat pengajian tahfiz tempatan yang menawarkan aktiviti memanah kepada pelajar mereka untuk mengisi waktu santai.

Berkesempatan melihat sendiri murid-murid di Sekolah Rendah Islam Nurul Hidayah, Puchong, Selangor berlatih yang dipimpin jurulatihnya dari Musaddidun Solution, Azharul Amani Abdul Aziz sememangnya di luar jangkaan penulis.

Bayangkan kanak-kanak yang baru berusia lapan tahun sudah mampu melepaskan anak panah ke kawasan sasaran dengan begitu baik.

Azharul Amani yang lebih mesra disapa Ahmad berkata, aktiviti memanah di sekolah berkenaan bermula sejak 2016 yang disertai pelajar dari tahun dua hingga tahun enam.

Katanya, memanah termasuk di dalam salah satu aktiviti kokurikulum pilihan pelajar.

“Kanak-kanak yang menyertai aktiviti memanah lebih fokus, tenang dan yakin kerana ciri-ciri itu sangat diperlukan seorang pemanah untuk melepaskan anak panah ke lokasi sasaran dengan baik.

“Dari segi cabaran mengajar kanak-kanak ini sememangnya ada, tapi kita perlu bijak untuk mengawal keadaan terutama menjadikan aktiviti ini sesuatu yang menyeronokkan. Tapi, dalam masa yang sama berdisiplin dan peka dengan keselamatan.

“Selain itu, mereka juga diberi pendedahan untuk berlatih dengan teknik memanah yang membolehkan mereka layak menyertai pertandingan bagi mewakili sekolah atau kelab.

“Setakat ini, pelajar di Sekolah Rendah Islam Nurul Hidayah sudah menyertai pertandingan memanah berhalangan pada tahun lalu dan berjaya meraih tempat kedua,” katanya yang berpengalaman selama 10 tahun dalam aktiviti memanah.

Azharul Amani yang juga atlet memanah berkuda Malaysia berkata, setakat ini pihaknya menyediakan perkhidmatan latihan memanah di tujuh sekolah termasuk pusat tahfiz dan memiliki antara 200 hingga 300 pelajar sejak mengajar pada 2009.

Terdapat juga pelajar dari negara asing yang menjadi pelajarnya iaitu dari Indonesia dan Thailand yang kini ada antara mereka berjaya mewakili negara masing-masing bagi pertandingan memanah di peringkat antarabangsa.

Katanya, kelas latihan yang ditawarkan untuk kanak-kanak juga mampu milik untuk ibu bapa iaitu bermula RM60 bagi dua sesi latihan termasuk menyediakan semua keperluan memanah.

“Sekiranya mereka sudah bersedia untuk terus mempelajari teknik memanah, murid digalakkan memiliki busur sendiri dengan harga ditawarkan sekitar RM170 termasuk empat anak panah dan beg simpanannya, ‘tarkaz.’

“Banyak faedah yang boleh dimiliki kanak-kanak sekiranya terus bergiat aktif dengan aktiviti memanah kerana ciri-ciri seorang pemanah boleh diterapkan ketika mereka belajar di bilik darjah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 11:48 AM