MEMANAH dengan busur moden.
KANAK-KANAK juga mampu menjadi pemanah.
AKTIVITI memanah dalam kalangan remaja memberi kesan yang positif dalam kehidupan.
KEPELBAGAIAN anak panah tradisional.
MEMANAH dengan memakai pakaian tradisional memberi jiwa ketika beraktiviti.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Mata menikam tepat pada titik sasaran. Nafas pula dikawal dengan sebaik-baiknya sementara keseimbangan badan juga tidak boleh diketepikan.

Memanah sememangnya aktiviti yang menguji kemampuan individu untuk sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal bagi memastikan anak panah dilepaskan dari busur menikam tepat titik sasaran.

Malah, aktiviti ini juga menjadi salah satu sunah peninggalan Nabi Muhammad apabila ia antara aktiviti sukan digalakkan baginda selain berkuda.

Di Malaysia, aktiviti memanah mempunyai pengikutnya tersendiri tanpa mengira latar belakang kepercayaan dan kaum kerana kesan kepada kesihatan fizikal serta emosi nyata terbukti.

Setiap pemanah perlu mempunyai kecergasan mental yang baik kerana jika mereka mudah terganggu contohnya persekitaran bising, maka sudah pasti gagal untuk melepaskan anak panah ke titik sasaran dengan baik.

Begitu juga dengan fizikal apabila setiap pemanah perlu mempunyai kawalan fizikal yang baik terutama untuk mengimbangi badan ketika bersiap sedia melepaskan anak panah daripada busur dipegang.

Dari peringkat umur pula, pemanah tidak mempunyai sebarang ketetapan tertentu. Selagi boleh mengendalikan busur dan melepaskan anak panah, sudah cukup melayakkan diri untuk menyertainya.

Malah, ada juga sekolah tadika yang mengadakan aktiviti memanah untuk si kecil dengan menyediakan peralatan sesuai usia mereka terutama penggunaan anak panah tidak tajam.

Di peringkat pendidikan lain pula, bagi pelajar yang sudah mampu mengendalikan alatan memanah didedahkan pula teknik memanah lebih teknikal.

Secara asasnya, bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti ini sudah pasti mempelajari teknik memanah secara statik didedahkan. Ini bermakna pemanah hanya perlu memanah pada satu titik sasaran yang tidak bergerak dan melakukannya dalam beberapa posisi tertentu.

Bagi mereka yang sudah mampu menguasainya pula, teknik dinamik diperkenalkan iaitu titik sasaran tidak berada pada satu tempat tapi bergerak dan pemanah perlu bijak mengendalikan busur dengan baik untuk memastikan anak panah mampu menikam objek disasarkannya.

Bermula dengan pengenalan teknik dinamik, pemanah mampu menyertai cabaran memanah yang lain seperti memanah berhalangan dan berkuda. Kedua-dua disiplin itu popular dalam aktiviti memanah tradisional yang hanya bergantung kepada peralatan asasnya saja iaitu busur dan anak panah.

Difahamkan terdapat beberapa jenis anak panah digunakan seperti gentian kaca, karbon, buluh dan kayu. Penggunaan anak panah ini bergantung kepada aktiviti memanah yang ingin dilakukan.

Bagi aktiviti memanah secara rekreasi, pemanah biasanya menggunakan anak panah dan busur gentian kaca kerana ia lebih mudah untuk dikendalikan berbanding jenis lain.

Pastinya ada yang tertanya-tanya di mana sebenarnya kita boleh menyertai aktiviti memanah? Sebenarnya banyak operator menyediakan latihan kepada mereka yang ingin menyertai aktiviti ini dengan kadar yuran latihan sejam bermula RM20 saja untuk sekali latihan. Kos itu termasuk alatan memanah.

Tempat latihan atau memanah secara rekreasi dilakukan di dalam atau di luar premis bergantung kepada pihak operator yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Biasanya, bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan operator untuk aktiviti itu, sudah pasti di luar premis menjadi pilihan kerana ia lebih mempunyai ‘jiwa’ ketika beraktiviti.

Terdapat juga beberapa syarikat yang membuka pusat khas memanah di premis dalam pusat beli-belah dengan mengenakan caj mengikut jumlah anak panah yang disediakan.

Menerusi tinjauan yang dilakukan, ada antara pusat memanah di dalam pusat beli-belah menawarkan harga serendah RM13 bagi 18 anak panah untuk pelajar.

Tidak ketinggalan, aktiviti memanah seperti yang diketahui umum adalah salah satu aktiviti dipertandingkan dalam pelbagai temasya sukan tidak kira di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Bagi ibu bapa yang ingin memupuk minat anak mereka bersukan, aktiviti memanah antara yang boleh disarankan kerana ketika ini terdapat banyak pusat latihan disediakan.

Pada masa sama, ibu bapa juga boleh turut serta menyertai aktiviti memanah sambil beriadah. Secara tidak langsung juga sebenarnya kita sedang melakukan aktiviti yang disarankan oleh Rasullulah ketika bersantai. Jom memanah!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:16 PM