PERSEMBAHAN pembukaan daripada murid
Fazurawati Che Lah

Usaha Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) mendedahkan alam pekerjaan kepada kanak-kanak di Festival Impian Kanak-kanak begitu menghiburkan sekali gus mendorong mereka memasang cita-cita sendiri, baru-baru ini.

Karnival yang dikenali Kidz Dream Festival 2018 itu dianjurkan penuntut semester kelima program Diploma Pengurusan Acara, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Pengarah Program, Muhammad Nazme Noorawee Ridzuan, 23, berkata program itu adalah projek akhir sebelum penuntut melangkah ke latihan industri dan wajib dilaksanakan bagi memenuhi kriteria pemarkahan dalam kursus Event Project - DTE 6033.

“Festival ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa syarikat swasta yang memberi penajaan.

“Sementara pihak KEMAS pula membantu dengan membawa seramai 500 murid tadika.

“Selain itu, program turut diserikan dengan kehadiran peserta dari sekolah Daerah Jasin dan ibu bapa yang membawa anak,” katanya.


PERTANDINGAN mewarna sempena Kidz Dream Festival 2018.

Katanya, tarikan utama Kidz Dream Festival 2018 ialah terowong pameran kerjaya.

Malah terowong pameran kerjaya ini adalah inspirasi yang diambil daripada KidZania.

“Di terowong itu, terdapat empat kerjaya menarik iaitu polis, bomba, cef dan pengacara.

“Pengisian seperti cabutan bertuah juga diadakan dan pemenang yang bertuah membawa pulang sebuah basikal dan barangan lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PMM Rashidah Mustapa, berkata program itu berjaya menarik kira-kira 2,600 pengunjung membanjiri Dataran 1PMM Mall untuk menyertai pelbagai pengisian yang disediakan pihak penganjur.

“Antara tarikan lain yang terdapat di festival ini ialah soopa doopa, mini kayak, mini funfair, mini zoo, pertunjukan fesyen kanak-kanak, berkuda, memanah dan banyak lagi.

“Selain itu juga, pameran kesihatan turut diadakan seperti derma darah, suntikan tifoid dan banyak lagi. Festival ini turut menampilkan maskot seperti Bumblebee, Iron Man, Glove Heart, Nemo, Pikachu, Minion, Mickey Mouse, Minnie Mouse dan banyak lagi”, katanya.

Festival yang berlangsung seawal 8 pagi dan berakhir 6 petang itu dirasmikan Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah.


RASHIDAH (tengah) bersama pemenang bagi pertandingan mewarna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 2:08 PM