KAWASAN air gelap menjadi lubuk ikan liar.
Hafiz Ithnin

Memburu ikan sungai liar yang hidup di hulu sungai sememangnya tidak mudah. Isi kelapa sawit sama ada dihiris atau sebaliknya antara menjadi umpan kegemarannya.

Apatah lagi, bukan sesuatu yang mudah juga untuk bertemu ikan liar bernilai tinggi itu berdasarkan pengalaman penulis ketika mengikuti rakan yang ‘gila’ mengail di lokasi berkenaan. Sememangnya mencabar namun menyeronokkan!

Jeti Taman Negara Kuala Tahan, Pahang menjadi pintu masuk utama dan bot pancung sebagai pengangkutan utama ke lokasi hulu sungai sudah sedia menunggu.

Barangan yang dibawa pula perlu dimaklumkan satu persatu kepada pegawai Jabatan Hutan yang bertugas dan prosedur ini penting bagi memastikan pemancing atau pengunjung tidak melakukan sebarang perkara yang boleh merosakkan khazanah hutan simpan itu.

DERETAN bot pancung bersedia di pintu masuk Taman Negara Kuala Tahan.

Usai sesi pemeriksaan itu, bermulalah perjalanan kumpulan pemancing lokasi pedalaman yang disasarkan pada hari itu iaitu Latar Said. Perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam menggunakan jalan air sepenuhnya.

Sekitar dua jam pertama pengalaman menaiki bot itu cukup menarik dengan menyaksikan panorama hijau dan beberapa kampung Orang Asli di kiri dan kanan Sungai Tahan.

Sebaik saja tekong bot menghala ke Sungai Keniang, kami terpaksa turun dari bot yang tersangkut kerana air cetek.

Namun cabaran itu sudah beberapa kali kami lalui dalam tempoh dua jam terakhir memandangkan paras air sungai sentiasa berubah.

PEMANDU bot perlu mengasah bilah kipas ketika melalui laluan air cetek sungai.

Sebaik saja tiba di Kem Said yang juga kem terakhir yang boleh diakses bot pancung, kumpulan pemancing menyiapkan keperluan berkhemah dan peralatan masing-masing.

Di hadapan Kem Said terletak Lubuk Said dikatakan menjadi lokasi kegemaran hidupan air itu seperti ikan sebarau, tengas dan kelah dan daun yang menjadi idaman kumpulan pemancing untuk ‘memujuknya’ naik ke darat.

Satu persatu peralatan memancing utama iaitu joran, mata kail, umpan dan batu ladung yang semuanya dipasang mengikut aturan secara tertib.

Cara memasukkan umpan buah kelapa sawit juga tidak mudah bagi pemancing yang kali pertama memasangnya kerana ia memerlukan teknik tertentu, jika tidak pasti ia terlepas daripada cangkuk mata kail.

KUMPULAN pemancing perlu meredah sungai untuk ke kawasan lubuk terbaik memancing.

Apabila semuanya siap dipasang, tali tangsi yang diikat pada mesin joran dihayun ke dalam sungai. Pemancing perlu bijak ‘mendaratkan’ umpan bagi memastikan ia berada di lokasi strategik iaitu terdapatnya lubuk ikan.

Jika umpan sudah mengena, membawa ikan seperti kelah ke darat juga perlu teknik tertentu. Sayang jika terlepas kerana kelah antara ikan yang sangat bernilai dan mencecah kira-kira RM300 sekilogram.

Bagi mereka yang biasa di kawasan ini, membawa pulang kelah bersaiz besar bukan mustahil kerana ia antara lokasi popular.

AKTIVITI memancing di kawasan hulu sungai mempunyai peminatnya tersendiri.

Tidak hanya Lubuk Said, kerana di kawasan pedalaman lain perlu juga diteroka pemancing antaranya Lubuk Panjang, Keniam Kecil, Lubuk 5 Minit, Terembung, Bulan Sabit dan Petir.

Melalui jalan denai ke lubuk memancing pula sememangnya tidak mudah kerana mudah terdedah dengan gigitan semut berbisa dan ‘ditawan’ pacat sepanjang perjalanan.

Perjalanan dari satu lubuk ke lubuk lain juga bukan dekat kerana ada antaranya perlu berjalan hingga tiga jam lamanya. Rata-rata lubuk bersifat tenang, persekitaran sunyi dan mempunyai paras air yang dalam.

Di Malaysia bukan semua kawasan hulu sungai dibenarkan untuk aktiviti memancing terutama kelah kerana terdapat lokasi yang diwartakan sebagai kawasan pemeliharaan dan dikategorikan semakin pupus.

PELBAGAI jenis dan saiz ikan yang berjaya dipancing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 10:55 AM