PENGGUNA di Malaysia lebih berhati-hati ketika berbelanja.
PENGGUNA di Malaysia lebih berhati-hati ketika berbelanja.
HM Digital

Platform agensi pelancongan bersepadu dalam talian antarabangsa, Expedia.com menerusi kajian tahunannya, Etika Penerbangan dan Hotel Global Expedia 2018 mendapati rakyat Malaysia menduduki tangga pertama di Asia paling cenderung menggunakan teknologi dan berhati-hati dengan kos mengembara pada tahun ini.

Hasil kajian itu diperoleh selepas 97 daripada 600 responden yang terbabit bersetuju mengenai perkara itu dan di peringkat dunia negara kita menduduki tempat kedua selepas Brazil.

Menerusi kajian yang dijalankan antara 22 Februari hingga 29 Mac lalu menunjukkan pengembara Malaysia berbelanja dengan lebih bijak.

Dari segi fokus dalam percutian, 74 peratus memberi tumpuan kepada kadar harga, 71 peratus memastikan kemudahan WiFi dan 63 peratus memastikan hotel yang ditempah berada di kawasan strategik.

Ketua Komunikasi Serantau Jenama Expedia Asia, Lavina Rajaram berkata, dalam kajian terdahulu membabitkan Kajian Kurang Mendapat Cuti Expedia 2017 mendapati isu mampu milik menjadi faktor utama rakyat Malaysia.

Beliau berkata, dalam kajian terbaru itu, separuh daripada responden boleh mempertimbangkan untuk memberi tip kurang daripada RM5 kepada pekerja hotel dan kira-kira 10 peratus pelanggan hotel dari Malaysia yang memberi tip lebih daripada nilai berkenaan.

“Dari segi tingkah laku percutian rakyat Malaysia pula didapati 36 peratus responden lebih berminat untuk menukar bilik sekiranya terlalu sejuk atau panas. Peratusan itu dikongsi bersama responden dari India, Brazil dan Singapura dengan jumlah peratusan satu peratus kurang dari Malaysia.

“Selain itu, dalam kajian membabitkan tingkah laku dalam penerbangan, 57 peratus responden terganggu apabila penumpang lain tertendang kerusi yang diduduki dan 36 peratus terganggu dengan bau penumpang lain,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Lavina berkata, tempahan pakej adalah cara paling mudah untuk pengembara mendapatkan harga jimat ketika bercuti sama ada dalam negara atau melancong di luar negara.

Menerusi Expedia.com, jika anda membuat tempahan penerbangan dan hotel pada satu masa, anda boleh berjimat sehingga 16 peratus kos pengembaraan serta terdapat pakej menarik ditawarkan terutama musim cuti sekolah pada Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 11:24 AM