MERIAH Dewan Platinum yang dikunjungi penuntut dan orang ramai.
Fazurawati Che Lah


Hari Kerjaya Internship & Career Excellence Day 3.0 Politeknik Merlimau Melaka (PMM) meriah apabila lebih 2,000 peluang pekerjaan disediakan, baru-baru ini.

Melalui kerjasama JobMalaysia Centre Melaka itu, ia membabitkan hampir 30 majikan dari pelbagai sektor.

Menurut Pengarahnya, Rashidah Mustapa, program kerjaya yang diadakan itu bagi memberi peluang kepada mahasiswa tamat latihan industri untuk terus mendapatkan pekerjaan tanpa perlu mengambil masa lama.

“Seramai 878 penuntut PMM yang menamatkan latihan industri hadir ke program ini bagi merebut peluang pekerjaan.

“Mereka dapat memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan kerana lebih 2,000 pekerjaan disediakan,” katanya.

Katanya, program tahunan itu dianjurkan dua kali setahun kerana dalam masa setahun penuntut akan melapor diri semula ke PMM. Ia selepas menjalani latihan industri iaitu pada April dan November setiap tahun.


SUASANA Dewan Platinum yang dikunjungi penuntut dan orang ramai untuk mencari peluang pekerjaan.

“Akhir tahun lalu iaitu pada November kita mengadakan siri yang pertama. Pada masa itu, kita bekerjasama dengan JobMalaysia dalam menjayakan program ini.

“Inisiatif ini sewajarnya dilakukan mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) khusus untuk mengurangkan mahasiswa menganggur selepas tamat pengajian,” katanya yang turut merasmikan karnival berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Melaka Noraini Nordin dan Ketua Unit Perhubungan dan Latihan Industri Politeknik Merlimau Ishak Mohamed Basir.


ANTARA majikan yang hadir bagi menawarkan kekosongan kepada penuntut dan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 1:00 PM