PERNIAGAAN atas talian antara yang popular dalam kalangan mahasiswa.
Fazurawati Che Lah


Pengurusan masa sangat penting sekiranya mahasiswa memilih untuk berniaga ketika mengikuti pengajian.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Jaringan Industri & Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, berkata jadilah mahasiswa yang bijak membahagikan masa antara pengajian dan perniagaan.

Katanya, semua mahasiswa sedia maklum jadual waktu mereka ke kuliah, tutorial dan aktiviti kokurikulum baik di fakulti atau kolej kediaman.

Selain itu katanya, penuntut juga biasanya dimaklumkan berkenaan tarikh ujian, peperiksaan dan keperluan menghantar tugasan serta amali.

“Semua perkara ini biasanya dimaklumkan pada awal semester. Jadi mereka sepatutnya lebih arif berkenaan kelapangan waktu masing-masing dan perlu bijak menguruskannya.

“Sekiranya kebanyakan kuliah mereka sebelah pagi, ambillah masa satu hingga dua jam di sebelah petang untuk menyiapkan tugasan akademik atau menelaah. Masa yang selebihnya bolehlah diperuntukkan untuk berniaga,” katanya.

Dr Mohamad Fazli berkata, sekiranya bentuk perniagaan adalah secara dalam talian ia lebih menjimatkan masa berbanding perniagaan yang memerlukan mahasiswa membuka gerai atau sebagainya.

PENGAJIAN perlu diutamakan sebelum memikirkan komitmen untuk berniaga.

“Masa yang selebihnya tadi boleh digunakan untuk aktiviti akademik. Jika kebanyakan kuliah pada sebelah petang, mahasiswa perlu memperuntukkan masa pada awal pagi untuk belajar dan selepas itu antara satu hingga dua jam untuk aktiviti perniagaan pula.

“Malah boleh juga untuk memilih hanya menjalankan aktiviti perniagaan pada hujung minggu. Ia bergantung kepada jenis atau bentuk perniagaan mereka.

“Sekiranya pilihan waktu untuk berniaga pada Sabtu, maka pada Ahad bolehlah digunakan untuk menyiapkan tugasan dan keperluan akademik atau dimanfaatkan bagi merehatkan diri,” katanya.

Dr Mohamad Fazli turut mencadangkan konsepnya seperti 5:1:1 atau lima hari untuk kuliah, satu hari aktiviti perniagaan dan satu hari untuk keperluan sendiri.

Beliau berkata, ada dua senario yang berbeza apabila seorang mahasiswa itu membabitkan dengan aktiviti perniagaan.

PEMBAHAGIAN masa yang tidak seimbang menyebabkan siswa penat dan keletihan.

“Pertama, terdapat juga dalam kalangan mahasiswa yang menjalankan perniagaan, tapi mereka juga cemerlang dalam pengajian.

“Kedua, tidak dinafikan ada sebilangan yang terlalu leka mencari pendapatan tambahan hingga mengabaikan pengajian.

“Bagi mereka mencari pendapatan tambahan adalah keutamaan berbanding memenuhi tuntutan sebagai seorang siswa,” katanya.

Jelasnya mahasiswa yang memperuntukkan sepenuh masa dengan pengajian sudah tentu berbeza dengan yang terpaksa membahagikan masa antara pengajian dan perniagaan atau kerja sambilan.

“Disebabkan sibuk berniaga dan mencari pendapatan tambahan mereka sering ponteng dari menghadiri kuliah, tutorial, tidak menghantar tugasan, tidak terbabit dalam perbincangan kumpulan serta tidak melakukan pembentangan.

“Sudah pasti ia memberi kesan ke atas pencapaian akademik mereka. Selain itu, masa berehat pula digunakan untuk berniaga. Lama-kelamaan disebabkan tidak mempunyai masa yang cukup untuk berehat, ia boleh menyebabkan mahasiswa jatuh sakit dan perlu mendapatkan rawatan serta mengambil cuti sakit,” katanya.

Katanya titik tolak adalah bergantung kepada mahasiswa itu sendiri.

PERNIAGAAN makanan memerlukan peruntukan masa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 1:14 PM