Skip this ad x
MUZIUM adalah lokasi terbaik bagi pelajar sekolah menengah yang wajib lulus dalam subjek Sejarah untuk lebih mudah memahami penceritaan sejarah negara.
Hafiz Ithnin

Tinggal beberapa hari lagi adik-adik bakal menikmati cuti sekolah untuk penggal pertama tahun ini. Mesti kebanyakannya juga tidak sabar menyambut Aidilfitri pada minggu depan.

Pada masa sama, ketika berpuasa ini mesti ada yang tidak berenggang dengan peranti pintar sama ada untuk bermain permainan video atau melayari Internet sambil berborak kosong dengan rakan menerusi platform media sosial.

Bagaimanapun, sepanjang Ramadan ini, aktiviti riadah masih boleh dilakukan seperti biasa. Apa kata melawat muzium yang berdekatan dengan kawasan anda?

Mungkin ada yang mempunyai persepsi melawat muzium adalah aktiviti yang membosankan kerana hanya boleh melihat artifak disimpan kemas di dalam ruang pameran.

Namun, anda perlu tahu ketika ini terdapat lebih 200 muzium di seluruh Malaysia sama ada bernaung di bawah Jabatan Muzium Malaysia, negeri, institusi, persendirian atau swasta mempunyai pelbagai aktiviti yang menarik untuk dijengah.


MUZIUM Tekstil antara bangunan terkenal di Kuala Lumpur.

Apatah lagi, muzium adalah lokasi terbaik bagi pelajar sekolah menengah yang wajib lulus dalam subjek Sejarah untuk lebih mudah memahami penceritaan sejarah negara selain mengembangkan pengetahuan am.

Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, di bawah kelolaan Jabatan Muzium Malaysia sendiri terdapat 20 muzium antaranya Muzium Negara (Kuala Lumpur), Muzium Etnologi Dunia Melayu (Kuala Lumpur) dan Muzium Automobil Nasional (Selangor).


DEKORASI di Muzium Istana yang menarik perhatian.

Beliau berkata, muzium di Malaysia mempunyai kepelbagaian dan pengkhususan yang boleh memberi banyak pengalaman kepada orang ramai khususnya golongan muda.

“Ketika ini, kami mahu lebih banyak golongan muda melawat muzium kerana mereka bakal menjadi pelapis pengunjung pada masa depan. Berikutan itu, kami menyediakan lebih banyak aktiviti bersifat interaktif kepada orang ramai.

“Selain itu, kami juga sudah menyenaraikan 153 program untuk disertai orang ramai sepanjang tahun ini antaranya aktiviti bermalam di muzium membabitkan semua muzium di bawah kelolaan Jabatan Muzium Malaysia. Ada juga beberapa muzium swasta yang berminat untuk turut serta pada 30 dan 31 Ogos ini,” katanya.


KEHIDUPAN Orang Asli boleh dilihat lebih dekat dengan mengunjungi muzium.

Di Malaysia terdapat pelbagai muzium yang boleh dilawati mengikut minat atau kecenderungan masing-masing, ada antaranya khusus kepada sektor tertentu seperti automotif, keislaman, kebudayaan dan ketenteraan.

Ditambah dengan pelbagai aktiviti untuk golongan muda termasuk mencuba permainan tradisional, menonton tayangan dokumentari, memegang arca yang menyerupai artifak dan menyertai seni tarian.


MUZIUM Tentera mempunyai pelbagai tarikan berkenaan revolusi ketenteraan di Malaysia.

Mohd Azmi berkata, apabila pengunjung dapat memegang arca diperbuat seakan-akan artifak asli, mereka akan lebih memahami mengenainya dan boleh menarik minat untuk terus memahami sejarah sesuatu tinggalan yang dipamerkan di muzium.

“Sesetengah muzium juga mengadakan aktiviti yang mengetengahkan kebudayaan pelbagai masyarakat di Malaysia dan menceritakan sejarah kewujudannya di negara ini.

“Dalam usaha menarik perhatian anak muda, kami memberi peluang kepada mereka untuk memakai pakaian tradisional, menyertai persembahan tarian dan juga terbabit sama majlis perkahwinan secara tradisional yang dianjurkan pihak muzium,” katanya.


SEJARAH dan artifak tinggalan pemerintah dahulu kala sering dipamerkan.

Jadi, apabila sebut saja muzium, ia tidak hanya fokus kepada perincian artifak semata-mata kerana ia sebenarnya lebih daripada itu.

Bagi memupuk minat golongan muda terutama pelajar sekolah, Jabatan Muzium Malaysia juga mewujudkan program muzium bergerak ke sekolah termasuk di kawasan luar bandar.

Katanya, aktiviti itu adalah antara kerjasama yang dijalankan muzium dengan pihak sekolah bagi berkongsi ilmu sejarah kepada mereka. Sekali gus memberi pemahaman yang lebih mudah dalam subjek sejarah dipelajari.


AKTIVITI tradisional antara yang dianjurkan bagi menarik minat pengunjung ke muzium.

“Program ini sudah lama diadakan dan ia dilihat antara langkah menarik minat generasi muda mengunjungi muzium serta mendapat maklumat untuk pengetahuan mereka untuk digunakan dalam aktiviti pembelajaran di sekolah.

“Aktiviti ini juga boleh memberi peluang kepada pelajar di luar bandar untuk sama-sama menghayati pelbagai tinggalan sejarah negara,” katanya.

Setakat tahun lalu, Jabatan Muzium Malaysia merekodkan 3.1 juta pengunjung. Dijangkakan angka itu dapat ditingkatkan kepada 3.3 juta pengunjung bersandarkan kepada pelbagai acara yang menarik disediakan pihak muzium.


ANTARA peninggalan artifak lama bernilai tinggi berada di muzium

Katanya, jumlah kehadiran pelancong asing juga menunjukkan peningkatan terutama dari segi pameran membabitkan budaya tempatan yang mereka tidak dapat lihat di tempat lain.

“Pelancong asing juga menjadikan muzium di Malaysia sebagai salah satu destinasi percutian kerana di sini mereka dapat melihat sejarah pembangunan negara dan pelbagai penceritaan sejarah masyarakat setempat.

“Lebih menarik apabila kami adakan program interaktif seperti majlis perkahwinan tradisional masyarakat tempatan dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

Jadi adik-adik, apa tunggu lagi, jom kita ke muzium kerana banyak program disediakan untuk anda!


AKTIVITI mengunjungi muzium pada waktu malam turut diadakan.

10 muzium yang terdapat di Malaysia:

1. Muzium Negara, Kuala Lumpur

2. Muzium Etnologi Dunia Melayu, Kuala Lumpur

3. Muzium Seni Kraf Orang Asli, Kuala Lumpur

4. Muzium Automobil Nasional, Selangor

5. Muzium Labuan, Labuan

6. Muzium Marin Labuan, Labuan

7. Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Kedah

8. Galeria Perdana, Kedah

9. Muzium Seni Bina Malaysia, Melaka

10. Muzium Kota Johor Lama, Johor


KISAH generasi terdahulu dipamerkan kepada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 11:33 AM