PELAJAR Kemboja bersama litar binaan yang dihasilkan.
Fazurawati Che Lah

Mahasiswa di negara ini sangat bertuah dengan wujudnya sistem pendidikan tinggi berdaya maju dan mampu menyumbang kepada kebolehpasaran siswazah pada masa mendatang.

Sistem pendidikan tinggi negara yang dinamik mampu mempersiapkan mahasiswa dengan pelbagai ilmu dan kemahiran selain teknologi bertaraf global yang menjadi dambaan belia serta remaja di luar sana.

Namun, lain situasinya dengan mahasiswa di negara jiran apabila saluran ilmu pendidikan tinggi agak terhad dan sukar didapati.

Oleh itu, kelompok yang tidak bernasib baik ini sangat memerlukan bantuan dan keprihatinan masyarakat serantau demi masa hadapan yang lebih cerah.

Demi menyumbang kepada pembangunan kendiri rakan mahasiswa di luar bandar di Kemboja, sekumpulan 24 mahasiswa dan pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggembleng tenaga secara sukarela membawa ilmu kejuruteraan melalui program Kembara Kemboja.

Tujuan utamanya menyantuni remaja luar bandar di Kampong Cham untuk berkongsi ilmu kejuruteraan yang menjadi teras pendidikan tinggi di UniMAP.


SUKARELAWAN membantu pelajar menyiapkan tugasan sains.

Mahasiswa UniMAP yang turut bergelar sukarelawan Kembara Kemboja itu pada masa sama menyiapkan bantuan menerusi pelbagai program istimewa yang menekankan aspek kreativiti, kepemimpinan dan kemahiran komunikasi.

Melalui pemerhatian pengarah program, Mohammad Syah Muslim Ramle, 23, remaja dan mahasiswa di Kemboja mampu mengubah masa hadapan dengan adanya kemudahan yang bersesuaian dan sokongan daripada semua pihak.

Katanya, ilmu kejuruteraan adalah salah satu agenda penting dalam pembangunan negara dan modal insan di negara itu.

“Pembangunan kendiri dari segi melengkapi ilmu yang boleh diguna pakai adalah penting sebagai lonjakan kemajuan infrastruktur dan pembudayaan masyarakat aras tinggi di Kemboja.

“Kunjungan kali ini saya membawa ilmu kejuruteraan pembuatan, mekatronik dan komputer serta perhubungan untuk dikongsi bersama remaja dan belia di sana,” katanya.

Antara yang menjadi rebutan remaja dan belia luar bandar negara itu adalah teknologi pembuatan sistem pam air telaga yang menjadi satu keperluan mendesak di kawasan pedalaman.

Menurut Mohammad Syah, air yang dipam secara manual sebelum ini perlu dibawa ke kolah simpanan air setiap kali ingin menggunakannya.


TEKUN menyiapkan tugasan uji kaji.

“Melalui teknologi yang dibawa, satu sistem perpaipan diwujudkan supaya air yang dipam boleh terus dialirkan ke kolah simpanan.

“Teknologi pembuatan termaju juga dibawa demi mendedahkan belia di luar bandar itu dengan pengaturcaraan program dan kecerdasan buatan yang menjadi komponen penting dalam Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Turut dikongsi bersama remaja luar bandar Kemboja ialah teknologi pembuatan turbin yang boleh digunakan untuk penjanaan tenaga baharu.

Model ringkas turbin juga dibentangkan dalam skala kecil untuk pemahaman yang lebih mudah dan difahami sebilangan besar remaja di sana.

Rentetan kunjungan itu, Mohammad Syah berharap mereka dapat membina struktur lengkap yang berfungsi sepenuhnya untuk kegunaan penduduk kampung pada masa hadapan.

Sementara itu, Penasihat Program, Dr Mohd Zakimi Zakaria berpendapat, program seumpama itu penting untuk melahirkan mahasiswa dan graduan yang lebih berketrampilan dalam akademik serta kesukarelawanan. Pada masa sama dapat memperkemaskan kemahiran sosial melalui interaksi dan komunikasi bersama remaja luar bandar Kemboja.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan itu turut berkata, usaha berkenaan berupaya melahirkan mahasiswa dan graduan holistik serta seimbang.


SALAH satu alat uji kaji sains yang dihasilkan.

Bagi penuntut tahun tiga Ijazah Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan, Nur Arinah Saban @ Hasan, 22, mahasiswa perlu bijak menggunakan peluang pada usia muda untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang memerlukan.

Katanya, tahap kemahiran belia yang tinggi di seluruh dunia berupaya menjadikan masa hadapan lebih maju dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi serantau.

“Inisiatif kerajaan melatih warga belia termasuk mahasiswa seluruh negara dalam pelbagai bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sangat bertepatan dengan keperluan semasa industri global.

“Transformasi sistem TVET menjadi agenda perubahan dalam mening­katkan daya saing tenaga kerja tempatan.

“Inisiatif ini sebenarnya sangat bertepatan dengan masa dan fenomena Revolusi Industri 4.0 yang ‘melanda’ seluruh dunia hari ini,” katanya.

Sementara itu, Nur Arinah yang berkampung selama empat hari bersama masyarakat di daerah Po’tian, Phnom Penh pula berkongsi kemahiran melalui pemindahan teknologi.


PESERTA bersama pelajar sekolah yang mengambil bahagian.

Ia termasuk kemahiran robotik menggunakan Robot Training Kit, kemahiran melukis produk 3 Dimensi dan penghasilan produk kincir angin yang menggunakan bahan kitar semula selain kemahiran ‘Engineering Science Arts.’

Katanya, konsep yang digunakan ialah kongsi dan siap iaitu setiap perkongsian teknologi, suatu model akan dipersiapkan dengan bantuan belia supaya ia boleh diguna pakai secara berterusan.

“Perkongsian yang paling menarik ialah belia luar bandar Kemboja boleh mencuba aplikasi ‘Robot Line Following,’ selain ilmu pengaturcaraan mudah dan turut mereka bentuk litar yang digunakan robot.

“Selain pemindahan teknologi kepada belia dan masyarakat Po’tian secara umum, Kembara Kemboja juga turut menyalurkan bantuan dan kesedaran berkenaan kepentingan kemahiran serta peningkatan kemahiran pembuatan kepada setiap ketua keluarga melalui program anak angkat Kembara Kemboja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 1:05 PM