PENANDA buku anyaman mengkuang hasil kerja murid.
meneruskan kelangsungan hidup.
Fazurawati Che Lah


Selaras dengan matlamat Pendidikan Untuk Semua (EFA), sewajarnya kanak-kanak bukan warga Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri dan gelandangan diberi peluang dan hak untuk memperoleh sekurang-kurangnya pendidikan asas yang meliputi literasi, numerasi dan kenegaraan.

Prinsip EFA adalah satu mandat global bagi memastikan semua keperluan rakyat dalam pendidikan dipenuhi.

Sebagai tanda menyokong Prinsip EFA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah sewajarnya dengan memperkenalkan Dasar Pendidikan Wajib bagi semua kanak-kanak di Malaysia.

KPM melalui Surat Pekeliling Ikhtisas mengeluarkan arahan mana-mana kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen dan salah seorang ibu bapa anak itu adalah warganegara, boleh didaftarkan sebagai murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Syaratnya perlu mendapatkan surat pengesahan atau surat perakuan daripada ketua kampung bahawa kanak-kanak itu adalah anak warga Malaysia.

Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, hingga kini penyertaan kanak-kanak dalam pendidikan di peringkat rendah adalah 98 peratus.

Katanya, cabaran utama adalah untuk memastikan dua peratus kanak-kanak yang masih tidak ke sekolah diberi peluang pendidikan.

“Perubahan ekosistem pendidikan mewujudkan jurang pendidikan antara kawasan luar bandar dan bandar.

“Oleh itu, kurikulum yang dibangunkan sistem pendidikan hari ini perlu berperanan dengan lebih jelas supaya ia terus relevan dalam Revolusi Perindustrian ke-4 (RI4).

“Malah, kerelevanan pendidikan dan kurikulum sebagai inti pati utama sistem pendidikan. Pada masa sama perlu melihat pendidikan dalam pelbagai alternatif,” katanya.

Menurutnya, dalam mereka bentuk ekosistem pendidikan yang berdaya maju, kurikulum yang diguna pakai perlu lebih bersifat anjal dan dinamik untuk menerima perubahan.

Kemajuan dan perkem­bangan teknologi perlu seiring tanpa meminggirkan nilai serta kemahiran tradisi yang perlu dipertahankan komuniti.

Katanya, pendidikan alternatif memberi perspektif baru kepada kanak-kanak bukan warga Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri.

“Ini kerana mereka dapat meningkatkan kemahiran asas seni kraf tangan selain penguasaan literasi dan numerasi.

“Pusat pembelajaran alternatif menawarkan pendidikan asas di peringkat sekolah rendah kepada kanak-kanak bukan warga Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri.

“Walaupun kanak-kanak ini selepas darjah enam mereka tidak dapat bersekolah, tapi dengan kemahiran yang ada mampu dijadikan sandaran untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Jelasnya, usaha untuk memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak bukan warga Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri dilihat sebagai satu usaha murni kerajaan untuk memberi kesaksamaan.

“Usaha itu menyuburkan semangat cintai Malaysia dalam kalangan kanak-kanak ini. Ini penting bagi memastikan kanak-kanak tidak dieksploitasi anasir luar yang boleh mengancam keselamatan dan kemakmuran negara menerusi propaganda antikebangsaan, pemerdagangan manusia, buruh kanak-kanak dan isu sejagat.

“Kita perlu sedar, kanak-kanak ini akan membesar di Malaysia, adalah sangat penting untuk memastikan mereka ini diberi pendidikan asas literasi, numerasi dan kemahiran demi kelangsungan hidup,” katanya.

Katanya, kesan jangka panjang jika anak-anak ini dipinggirkan dan tidak menerima pendidikan, bukan saja menimbulkan masalah sosial, jenayah, malah boleh menggugat keamanan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:31 PM