GERBANG Beting Beras Basah menjadi tarikan untuk pelancong bergambar.
GERBANG Beting Beras Basah menjadi tarikan untuk pelancong bergambar.
KAWASAN istiadat pertabalan Sultan Perak.
KAWASAN istiadat pertabalan Sultan Perak.
Nurul Husna Mahmud


Bagi pelancong yang gemar mengamati sejarah kesultanan Melayu, antara destinasi yang mesti anda kunjungan ialah Beting Beras Basah di Bagan Datuk, Perak.

Lokasi itu sangat penting bagi istiadat diraja Perak yang juga susur galur daripada kesultanan Melayu Melaka yakni Sultan Muzaffar Shah ketika baginda mula tiba di muara Sungai Perak.

Rakan media dari Portal Wow Malaysia, Hafiz Sakmi yang juga orang tempatan sempat berkongsi sejarah kawasan itu yang terletak tidak jauh dari pekan Bagan Datuk.

Katanya, berbanding dulu jalan untuk masuk ke kawasan bersejarah itu bertambah baik meskipun terletak dalam laluan jalan ladang dan belukar kecil.

Malah dulu lebih mudah menggunakan jalan laut denan menaiki bot atau sampan yang disediakan di jeti pekan.

Menerusi darat, pengunjung boleh melalui jalan Kampung Sungai Balai atau jalan pintas iaitu dari Kampung Sungai Balai Baroh dengan menempuh jalan tar kecil sejauh enam kilometer yang mudah menggunakan kenderaan kecil.

Berkenaan suasana mahupun pemandangan di Beting Beras Basah, penulis tiba di lokasi terbabit bersama rombongan media lain yang terbabit dalam siri lawatan Agro Tourism Bagan Datuk, Perak anjuran Lembaga Pelancongan Malaysia yang ketika itu sudah melewati jam 6 petang.

Beting pasir tidak ketara kelihatan melainkan bendera kecil pada tiang kayu di tengah laut boleh ditinjau pengunjung dari astaka tinjau di penghujung pantai.

Umumnya, beting pasir selalunya merujuk kepada fenomena semula jadi kejadian pasang surut air, namun keistimewaan lokasi terbabit ialah kesempatan pengunjung menyaksikan sendiri tempat istiadat pertabalan Raja Perak secara dekat.

Kata Hafiz, setiap kali pertabalan, Sultan Perak akan mula menghilir Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah sebagai simbolik adat tempat pertama Sultan Muzaffar Shah I yang juga Sultan Perak pertama menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak.

“Sebaiknya, lokasi unik ini mempunyai monumen atau sedikit catatan untuk menerangkan latar belakang tempat ini termasuklah permulaan kesultanan Perak iaitu menerusi peristiwa Raja Pertama Perak, Raja Muzaffar Shah ditabal menjadi raja di sini.

“Meskipun terdapat unsur mistik namun kisahnya itu wajar diperdengarkan kepada generasi muda bagi membantu mereka memahami kedaulatan sultan terdahulu. Antara kisah pernah diceritakan berkenaan destinasi itu oleh kebanyakan orang tempatan ialah peristiwa bahtera sultan dipukul ombak sebaik menghampiri Kuala Sungai Perak hingga terdampar dengan tiba-tiba di atas satu beting di tengah lautan.

“Hinggalah baginda melontarkan mahkota barulah dapat belayar semula dan serentak dengan itu, pembesar seperti Tun Saban dan pengikutnya melaungkan ‘Daulat Tuanku’ dan baginda Sultan Muzzaffar Shah pun ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama di Beting Beras Basah.

“Peristiwa itu juga menyebabkan baginda mengambil keputusan untuk mendarat di Beting Beras Basah dan ditabalkan sebelum meneruskan pelayaran baginda,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menyempurnakan ‘Istiadat Mencecah Kaki di Beting Beras Basah pada 14 Mei 2015 sebagai menyempurnakan Istiadat Pertabalan Sultan Perak.

Antara laluan tanah dan pantai, dibina satu laluan jambatan panjang merentasi laluan berpaya sepanjang 500 meter dan ada struktur binaan dipanggil Panca Persada. Secara umumnya, Panca Persada merujuk pentas khas tempat raja bersemayam selepas dimandikan menurut adat istiadat khas. Sultan Perak yang baru ditabalkan harus mandi menggunakan air daripada perigi di belakang bangunan terbabit sebelum bersemayam atas pentas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 2:44 PM