PELBAGAI pilihan rekaan serta produk tempurung ditawarkan Muhammad Isa.
OMEL replika kapal dan kereta dihasilkan Muhammad Isa.
HM Digital

Ramai memilih kota metropolitan sebagai tempat mengembangkan kerjaya, namun tidak bagi Muhammad Isa Che Rose, 40, kerana lebih selesa mengusahakan produk kraf berasaskan tempurung di bengkel krafnya di Kampung Sungai Nipah, Rungkup, Perak.

Bakat dan kehalusan kerja tangan bapa kepada tiga cahaya mata berumur antara dua dan 12 tahun itu tidak disangkal lagi apabila berjaya menghasilkan pelbagai replika menarik berbentuk karakter robot hinggalah kereta antik Royles untuk dijadikan lampu atau tabung.

Muhammad Isa berkata, dia pulang ke kampung halaman di Bagan Datuk atas permintaan orang tuanya, Che Ros Osman yang juga pengusaha minyak kelapa dara tempatan untuk menguruskan ladang keluarga.

“Sebelum memutuskan untuk menetap di kampung halaman tujuh tahun lalu, saya bekerja dan tinggal di Melaka hampir 17 tahun sebaik menamatkan pengajian pada 1995.

“Orang tua meminta saya pulang untuk menjaga ladang kelapa sawit 19.4 hektar dan menguruskan perniagaan minyak kelapa dara diusahakannya sejak 2006.

“Dalam menguruskan perniagaan bapa, ada juga hasrat untuk kembangkan perniagaan keluarga membabitkan produk kelapa. Maklumlah reputasi Bagan Datuk ini terkenal sebagai pengeluar kelapa utama untuk Perak, jadi potensi ia cukup besar bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan pokok berkenaan.

“Hinggalah pada 2014 saya menghadiri kursus kraf tangan anjuran Jabatan Pertanian di Sungai Betul dan ia membuka mata saya berkenaan nilai komersial tempurung yang bukan sekadar bahan bakar semata-mata.

“Menerusi bengkel itu saya pelajari cara membersihkan tempurung dengan kertas pasir, diikuti menebuk lubang di tempat yang sesuai atau memotong mengikut bentuk diinginkan.

“Kini sudah ada mesin sesuai untuk kerja menebuk mahupun memotong mengikut struktur diinginkan kemudian dicantum bagi membentuk rupa keseluruhan.

“Hasil kerja pertama saya ialah lampu pendan berbentuk kelopak bunga dengan perincian teliti. Saya begitu puas dapat menghasilkan bentuk hampir menyamai bunga hidup,” katanya.

Pembuatan kraf tempurung itu benar-benar mencabar kehalusan kerja tangannya kerana 20 peratus saja menggunakan alat atau mesin dan selebihnya manual.

Oleh itu, untuk rekaan yang rumit dan perlu penelitian, dia memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari hingga ke seminggu untuk menyiapkan tempahan.

“Tahun lalu saya menerima tempahan untuk menyiapkan 100 replika Jati oleh Majlis Daerah sebagai cenderahati. Satu model itu saja memerlukan empat hari kerana saya gunakan bahagian tempurung dan batang pokok untuk menghasilkannya,” katanya turut memaklumkan nilai kerja tangan itu boleh mencecah RM700 setiap satu kerana ‘menagih’ tempoh bekerja panjang selain ketelitian yang tinggi.

Pada masa sama, isterinya Zunaidah Muhammad, 36, sering membantu kerana dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan terutama menjelang musim perkahwinan.

“Pelanggan mulanya tempahan diterima daripada kenalan dan saudara yang tahu berkenaan hasil kerja tangan saya tapi akhirnya menjadi perusahaan apabila jabatan serta agensi kerajaan mula mencari keunikan dalam produk cenderahati untuk majlis mereka,” kata Muhammad Isa.

Berbekalkan bakatnya itu, dia sering dijemput Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melatih individu berminat dalam seni membuat kraf selain turut aktif menyertai pameran seperti Satu Daerah Satu Industri di Melaka dan Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Jalan Conlay Kuala Lumpur.-Nurul Husna Mahmud

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 11:40 AM
Skip this ad x