Hafiz Ithnin

Siapa yang tidak teruja dengan aktiviti membeli-belah? Malah ada antara kita yang melihatnya sebagai salah satu terapi minda yang cukup menenangkan apatah lagi jika berdepan masalah.

Tambahan pula, membeli-belah juga dianggap sebagai aktiviti yang mampu menjana pendapatan negara menerusi kitaran penggunaan domestik aktif dalam kalangan pengguna.

Kewujudan pelbagai pusat beli-belah dalam negara pula antara faktor utama sekali gus memberi peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membuat pelbagai pilihan.

Lebih membanggakan apabila pelbagai badan pengiktirafan pelancongan antarabangsa mengenal pasti Malaysia antara destinasi membeli-belah terbaik dunia.

Laporan perbelanjaan pelancong ke negara ini dalam aktiviti membeli belah setakat tahun lalu menokok sebanyak 3.2 peratus kepada RM26.03 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Menerusi angka itu, 50 peratus pelancong lebih tertarik untuk membeli-belah dalam segmen kelengkapan pakaian apabila ia berkait rapat dengan industri fesyen negara.

Tidak mustahil jika kita lihat setiap tahun, Malaysia menganjurkan minggu fesyen antarabangsa bagi menarik kehadiran pelancong dalam segmen umum dan korporat ke Malaysia.

Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Zain Azrai Rashid berkata, industri fesyen tempatan sememangnya dilihat semakin berkembang dengan terdapatnya pelbagai pemain industri tempatan yang mengetengahkan produk mereka kepada pelancong.

Katanya, kreativiti mereka terutama dalam menampilkan rekaan pakaian bercirikan Muslim yang lebih moden antara faktor memberi kelainan kepada negara menawarkan produk pakaian kepada pelancong tempatan dan asing.

“Jika kita lihat di setiap negeri di Malaysia sememangnya mempunyai satu kawasan yang diketahui umum sebagai destinasi untuk membeli-belah membabitkan tekstil dan pakaian sedia dipakai.

“Ada antara ejen pelancongan yang turut mendapat permintaan daripada pelancong asing untuk membawa mereka ke sana kerana terdapat pakaian atau tekstil boleh dibeli dengan harga berpatutan,” katanya.

Laporan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia juga menunjukkan terdapat lima enam lokasi berbelanja popular yang sering dikunjungi pelancong iaitu Bukit Bintang (Kuala Lumpur), Johor Bahru (Johor), Jalan Petaling (Kuala Lumpur), Kota Kinabalu (Sabah), Melaka, Georgetown (Pulau Pinang).

Zain berkata, Malaysia juga mempunyai ramai pereka fesyen tempatan yang namanya gah di luar negara dan ia turut menjadi tarikan kepada pelancong asing untuk berbelanja di negara ini.

Katanya, keunikan tekstil seperti songket dan batik khasnya sudah sinonim dengan Malaysia antara faktor tarikan pelancong asing untuk mendapatkan produk pakaian tempatan.

“Disebabkan itu, minggu fesyen antarabangsa yang dianjurkan di negara ini sering mendapat sambutan ramai kerana ia menjadi medan tontonan hasil reka fesyen tempatan kepada pembeli korporat antarabangsa.

“Selain itu, penganjur acara berkenaan juga yang mengadakan di pusat beli-belah yang terdapat ramai pelancong sudah semestinya mampu menarik perhatian mereka untuk mengenali hasil air tangan pereka fesyen kita,” katanya.

Malah menerusi laporan kementerian itu juga menunjukkan perkapita dalam segmen membeli-belah di Malaysia positif apabila meningkat 6.5 peratus pada 2016 kepada RM1,035.4 pada 2017.

Zain berkata, Malaysia juga mempunyai kemudahan membeli-belah secara dalam talian dan ketika ini kemudahan itu turut membantu pelancong untuk melihat produk kelengkapan pakaian yang terdapat di negara ini sebelum mereka mengunjunginya.

Katanya, kepesatan Revolusi Industri 4.0 yang berkembang maju di Malaysia menerusi pemain industri peruncitan sememangnya membantu menggalakkan aktiviti berbelanja di negara ini terutama penyediaan teknologi pembayaran tanpa tunai atau kad.

“Apatah lagi kini terdapat pelbagai kemudahan untuk membeli-belah dalam kalangan pelancong dan kebanyakan kedai di Malaysia terutama di kawasan bandar sudah mempunyai platform pembayaran termaju.

“Jika mereka tidak mahu keluar dari tempat penginapan, pembelian secara atas talian juga boleh dilakukan kerana Malaysia mempunyai infrastruktur jaringan Internet yang baik,” katanya.

Katanya, kewujudan syarikat beli-belah dalam talian untuk segmen fesyen premium tempatan juga semakin mendapat perhatian pelancong asing dan jenama mereka terkenal di rantau ini.

“Pengiktirafan jenama tempatan dijual dalam talian bukan sesuatu yang baru kerana mereka mampu mengembangkan pengaruh hingga ke peringkat serantau dan pemilik diiktiraf badan pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Melihat kepada prestasi transaksi perbelanjaan pelancong yang meningkat bersandarkan aktiviti membeli-belah, setiap tahun pihak kementerian dan pemain industri tempatan mengadakan kempen jualan dalam tempoh masa tertentu.

Katanya, kempen jualan akhir tahun itu yang diadakan tiga kali setahun iaitu pada 1 November hingga 31 Disember, 1 Februari hingga 31 Mac dan 15 Jun hingga 31 Ogos mendapat sambutan positif.

Lima destinasi membeli-belah popular di Malaysia 2017

1. Bukit Bintang/KLCC, Kuala Lumpur

2. Johor Bahru, Johor

3. Jalan Petaling, Kuala Lumpur

4. Kota Kinabalu, Sabah

5. Melaka

6. Georgetown, Pulau Pinang

Sumber: Laporan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia 2017b>

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 10:31 AM
Digital NSTP Subscribe