KUCHING Waterfront yang mempunyai panorama menarik.
Hafiz Ithnin

Ribuan pengunjung festival akan menuju ke nadi rimba Borneo pada 13 hingga 15 Julai ini untuk menikmati irama muzik dunia oleh pemuzik terkenal dari seluruh dunia.

Di samping festival, terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di dalam dan sekitar perkampungan festival di Semenanjung Damai, Santubong dan di daerah sekitarnya.

Platform tempahan perjalanan dalam talian, Agoda turut memberi cadangan kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai kemudahan percutian yang boleh digunakan untuk terus menikmati percutian di Sarawak.

Agoda berkata, Semenanjung Damai adalah tempat terletaknya Taman Negara Gunung Santubong dan Kawasan Tanah Lembap Kuching. Tapak Ramsar itu dikenali kerana kepelbagaian hidupan liar dan lokasi kembara denai ekstrem.

Katanya, peminat alam sekitar pasti seronok melakukan aktiviti kembara denai sehingga ke kaki Gunung Santubong dan meninjau ikan Dolfin Irrawaddy, buaya dan kelip-kelip di Tanah Lembap Kuching.

“Pengembara denai yang serius boleh cuba mendaki gunung hingga ke puncaknya. Terletak berhampirannya ialah Kampung Budaya Sarawak. Di sana pengunjung boleh mengenali budaya pelbagai etnik yang ada di negeri terbesar di Malaysia itu.

“Barisan hotel seperti The Waterfront Hotel menawarkan pilihan bilik yang menarik di pusat bandar raya yang juga di dalam jarak ulang-alik untuk melakukan aktiviti alam sekitar dan kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan.


BAKO National Park, Kuching yang menjadi tempat tinggal

Bagi pelawat yang menyukai aktiviti kembara, cubalah berkayak di sepanjang Sungai Semadang. Aktiviti singkat berkayak selama dua jam dan juga pengembaraan sehari penuh boleh dilakukan di sepanjang Sungai Sarawak Kiri.

Katanya, peminat aktiviti air juga boleh menikmati pemandangan hutan rimba di kedua-dua belah sungai, batu-batuan besar dan terdapat pelbagai spesies ikan.

“Peminat sejarah akan terpesona dengan banyaknya bangunan bersejarah yang dipulihara dengan baik di Kuching. Oleh kerana tempat tarikan terletak di sekitar Tebingan Kuching, ia cukup mudah dikunjungi hanya dengan berjalan kaki.

“Dari Tebingan Kuching, pengunjung boleh menaiki perahu penambang untuk menyeberang ke Kubu Margherita yang dibina pada 1879 dan The Brooke Gallery yang menempatkan banyak dokumen dan artifak bersejarah,” katanya.

Sekiranya pengunjung ke utara sungai berkenaan, anda boleh melihat kampung Melayu tradisional termasuk Kampung Boyan yang terkenal untuk diteroka. Pengunjung juga boleh mencuba pelbagai makanan tradisional dan kuih-muih termasuk kuih lapis yang terkenal di Sarawak.

“Tempat menarik lain termasuk Masjid Kuching atau masjid lama, Muzium Warisan Sarawak, Muzium Warisan Islam dan Muzium Sejarah Cina,” katanya.


PUSAT beli-belah yang menawarkan pelbagai barangan menarik di Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 8:00 AM