PESERTA yang terbabit program Sambutan Hari Raya bersama masyarakat Orang Asli Kampung Rakoh di Pos Lejang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Sukarelawan baru saja menyusun makanan seperti ketupat, rendang, kuah kacang, buah tembikai dan air minuman tapi masyarakat Orang Asli sudah ‘menyerbu’ tempat itu.

Bagaimanapun, pengalaman mengendalikan program sebelum ini memudahkan sukarelawan terbabit mengawal keadaan dan Orang Asli menunggu giliran untuk mengambil makanan secara tertib.

Itu situasi yang berlaku ketika kunjungan oleh Empire (EP) dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bukan kerajaan (NGI) bagi menyantuni serta menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat Orang Asli Kampung Rakoh di Pos Lejang, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.

Antara sukarelawan terbabit ialah Auntie Brigade, SMUUTA Team 4x4, Bentong Treker dan KLAU 4X4.

Difahamkan, masyarakat Orang Asli kampung berkenaan sentiasa ‘teruja’ jika ada pihak luar datang ke kampung mereka untuk mengadakan program bersama komuniti terbabit.

Faktor geografi kampung itu yang terletak di kawasan pedalaman dan perlu merentasi laluan ‘off road’ sejauh kira-kira 40 kilometer (km). Merentasi anak sungai pula antara cabaran yang perlu ditempuh 35 peserta termasuk penulis yang menaiki 13 kenderaan pacuan empat roda.


KENDERAAN pacuan empat roda meredah anak sungai ke Kampung Rakoh.

Ia adalah pengalaman baru penulis bersama sebahagian sukarelawan yang pertama kali merasai peluang berkenaan meskipun masing-masing agak keletihan kerana seharian tidak melelapkan mata demi menyelami pengalaman ‘manis’ itu.

Ketua Projek, Ahmad Zaquan Rahmat berkata, program itu sudah dirancang sebelum Ramadan lalu bagi meneruskan aktiviti ‘rutin’ menyantuni masyarakat Orang Asli sebelum ini.

“Program ini (Majlis Hari Raya Aidilfitri) adalah pertama kali disambut bersama mereka bagi mencipta kelainan berbanding program yang lalu.

“Sebelum ini kami hanya memberikan sumbangan barangan keperluan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Sederut, Gua Musang, Pos Bihai dan Pos Gob,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, pada kali ini sukarelawan membawa juadah hari raya yang sudah siap dimasak untuk dijamu kepada penduduk terbabit.

“Kami mahu berkongsi kegembiraan bersama mereka kerana mungkin kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka dengan kita jauh berbeza.

“Kita memilih kampung ini kerana penduduknya agak ramai beragam Islam dan selebihnya Kristian,” katanya.


ORANG Asli mengambil makanan juadah hari raya.

Katanya, pihaknya mengetahui kampung terbabit daripada rakannya yang pernah mengunjungi kampung berkenaan dan kemudian berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membuat permohonan.

“Selain menikmati juadah hari raya, penduduk turut diberikan sumbangan barangan keperluan diri dan pakaian terpakai.

“Selain itu, kami juga memberikan sumbangan 100 bungkusan yang mengandungi barangan keperluan harian kepada penduduk Orang Asli dari dua kampung lain,” katanya.

Menurutnya, program itu mendapat sokongan daripada Nestle Malaysia menerusi program Milo- Mari Beramal Bersama Milo.


SUKARELAWAN membantu menguruskan kanak-kanak berbaris mendapatkan makanan.

Tambahnya, pihaknya bercadang menjadikannya sebagai acara tahunan kerana sambutan menggalakkan daripada sukarelawan dan akan mencari perkampungan Orang Asli yang lebih daif.

Sementara itu, ahli Auntie Brigade, Rabian Ho Abdullah berkata, pertubuhan itu dianggotai lima wanita sebagai ahlinya yang sudah empat kali bekerjasama dengan EP dalam membuat aktiviti amal bersama-sama.

“Selain membantu melancarkan program, kami turut menolong mendapatkan dana daripada kenalan dan orang ramai bagi membolahkan EP melaksanakan lebih banyak program kebajikan.

“Untuk program ini, selepas membuat hebahan dalam Facebook, kami berjaya mengumpul dana untuk 100 penerima dalam masa 10 hari,” katanya.


AHMAD Zaquan menyerahkan sumbangan kepada penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 2:01 PM