NORHAYANTI (kanan) bersama-sama ibunya pada majlis graduasi MSU College ke-22.
NORHAYANTI (kanan) bersama-sama ibunya pada majlis graduasi MSU College ke-22.
Fazurawati Che Lah

“Anugerah ini sebenarnya untuk ibu saya,” kata Penerima Anugerah Mohd Shukri Yajid, Norhayanti Nordin, 25, yang ditemui selepas Majlis Graduasi ke-22, Kumpulan MSU College.

Beliau adalah graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak MSU College Shah Alam.

Norhayanti berkata, sokongan jitu ibunya, Che Som Che Soh, 64, yang bersemangat mahu melihat beliau berjaya akhirnya tercapai walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pengajian.

Katanya, masa pengajiannya agak terbatas kerana perlu berulang-alik ke Klang, Selangor untuk menjaga ibunya yang tidak mampu berjalan akibat kemalangan.

“Saya tiada masa untuk menelaah bersama kawan-kawan selepas kuliah kerana setiap hari saya perlu berada di samping emak.

“Saya perlu menguruskan keperluan emak setiap masa kerana pergerakannya terbatas,” katanya.

Jelasnya, dia perlu mengulang kaji seorang diri dan dia mempunyai kaedah sendiri bagi memastikan setiap butiran di kuliah dapat diingati dengan mudah.

“Saya akan buat nota dalam bentuk lagu, abjad atau ayat supaya mudah untuk diingat ketika memandu ke kolej.

“Nota seperti itu saya praktikkan sejak tingkatan enam. Setakat ini kaedah itu banyak membantu,” katanya yang akan bangun menelaah seawal jam 4 pagi setiap kali musim peperiksaan.

Norhayanti mengakui tidak menjangka meraih anugerah berkenaan kerana kesukaran yang dihadapi sepanjang pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 12:42 PM