KERJA mencabar turut menjadi pilihan penuntut.
Fazurawati Che Lah

Mahasiswa terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan keluarga. Tidak semua daripada keluarga senang atau berada.

Ada yang datang dari daerah pedalaman atau luar bandar dengan pendapatan keluarga yang sederhana atau di bawah paras kemiskinan.

Dalam senario ekonomi sekarang, apabila harga semua barangan begitu tinggi, belajar di universiti juga memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Rata-rata mahasiswa memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membiayai yuran pengajian dan selebihnya untuk menyara kehidupan di kampus dan perbelanjaan keperluan harian.

Justeru, terdapat penuntut yang terpaksa memanfaatkan masa lapang ketika belajar untuk melakukan pekerjaan secara sambilan apabila tiada kuliah.

Namun, apabila menjelang cuti semester antara dua hingga tiga bulan, ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Pada masa yang lapang itu, selain membantu keluarga di rumah, pelbagai pekerjaan boleh dilakukan mengikut minat dan kebolehan yang dimiliki diri.

Sememangnya diakui mahasiswa mempunyai bakat, kebolehan dan kemahiran yang pelbagai. Apa yang penting memiliki sifat rajin, keinginan untuk merebut peluang yang ada di sekitar kampung halaman atau di mana-mana lokasi yang terdapat peluang untuk bekerja.

Pengalaman penting dalam kehidupan hari ini. Ilmu di dalam bilik kuliah saja tidak mencukupi sebagai bekalan mengharungi pelbagai cabaran untuk menyara kehidupan selepas tamat belajar.

Mengulas lanjut, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ghazali Din berkata, bekerja pada waktu cuti semester, mahasiswa jangan terlalu memilih, lakukan saja asalkan kena dengan minat dan kemampuan tenaga serta tidak melanggar undang-undang.


KERJA mencuci kereta turut menjadi pilihan siswa pada waktu cuti semester.

“Mereka boleh bekerja di stesen minyak, warung menjual makanan, nelayan atau apa saja pekerjaan yang mendatangkan pendapatan.

“Bagi mahasiswa bidang pendidikan yang menguasai ilmu pedagogi umpamanya, mereka boleh menguji ilmu yang dipelajari untuk mengajar tuisyen di kampung atau taman perumahan dengan bayaran yang seadanya untuk menjana pendapatan.

“Walaupun bayaran tidak setinggi berbanding pusat tuisyen, ia mencerminkan semangat untuk berbakti kepada masyarakat sambil menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, cabaran dalam merebut peluang kerjaya masa kini menuntut mahasiswa menggilap segala bakat yang dimiliki dengan sebaik mungkin.


MENJADI pemandu Grab Car pilihan kerja pada masa kini.

Katanya, kebolehan yang pelbagai (multi tasking) dan kesediaan meneroka serta mendalami pelbagai ilmu akan membuatkan mereka mempunyai nilai tambah yang mungkin membezakan mereka dengan orang lain.

“Umpamanya, mahasiswa yang menguasai kemahiran pengucapan awam dalam bidang pengacaraan majlis, mungkin boleh menawarkan perkhidmatan pengacaraan majlis melalui mana-mana syarikat pengurusan majlis.

“Ia juga boleh mengukuhkan kandungan resume mahasiswa. Ketika temu duga pekerjaan nanti, segala nilai tambah diri yang ada dalam resume mencerminkan apa yang dilakukan mahasiswa sepanjang pengajian.

“Yang penting masa tidak dibiarkan berlalu tanpa sebarang pengisian aktiviti yang boleh mencipta pendapatan,” katanya.

Jelasnya tidak rugi mengorbankan masa lapang cuti semester. Itulah masa keemasan menambah pendapatan walaupun sedikit sebelum kembali ke kampus untuk bergelut dengan pengajian dan menyelesaikan tugasan seperti yang diarahkan pensyarah.


BOLEH menjalankan perniagaan berasaskan makanan.

Dr Ghazali berkata, selain pendapatan, mahasiswa memperoleh pengalaman yang tidak ternilai dan sangat berharga berbanding tidak melakukan apa-apa.

Justeru, katanya, gunakan segala kemahiran berkomunikasi, berbahasa atau segala kemahiran insaniah yang ditimba ketika belajar untuk diuji di tengah masyarakat meskipun hanya beberapa bulan.

“Jika pernah mempelajari ilmu keusahawanan dan pemasaran, mungkin boleh mengaplikasikannya dengan menjual kuih yang dimasak keluarga sendiri.

“Tidak perlu ada sifat malu dan rendah diri untuk bekerja dan bergaul dengan orang lain. Peluang sentiasa ada dan terbuka asalkan ada kemahuan.

“Bagi yang berminat atau pandai memasak, cuba memasak dan menjualnya walaupun di tepi jalan atau menghebahkan barangan jualan menerusi aplikasi WhatsApp dan dalam talian menerusi media sosial. Jika tiada modal, boleh menjadi pembantu di restoran atau mengambil upah atas sesuatu perkhidmatan,” katanya.


PENUNTUT boleh manfaatkan dengan bekerja dari rumah

Katanya, mungkin ada mahasiswa yang keluarganya mempunyai syarikat perniagaan yang berskala besar.

“Betapa mudahnya untuk menjana pendapatan sampingan dan menambah pengalaman kerana kuasa mengambil mahasiswa bekerja adalah keluarga sendiri,” katanya.

Katanya, wang yang diperoleh melalui pekerjaan sambilan itu perlu disimpan dan ia boleh digunakan apabila kembali semula ke kampus.

“Pada awal semester, wang masih banyak. Bila penghujung semester, wang sudah berkurangan. Justeru, wang simpanan ketika bekerja pada cuti semester sangat membantu mengatasi masalah kewangan.

“Wang pinjaman PTPTN tidak akan cukup selepas ditolak yuran. Bila pulang ke kampus, pelbagai komitmen hendak dibayar seperti pembelian buku, pergerakan untuk menyiapkan tugasan, makan minum, bayaran penyertaan pelbagai aktiviti, telefon serta pengangkutan,” katanya.

Tambahnya, bekerja untuk menambah wang poket ketika cuti semester bukan saja bermotifkan pendapatan untuk menampung perbelanjaan di kampus, apa yang paling penting mengaplikasikan apa yang dipelajari atau kemahiran insaniah yang dimiliki.

Katanya hari ini, graduan yang hebat bukan lagi graduan yang memiliki prestasi akademik yang cemerlang, sebaliknya memiliki pelbagai kemahiran insaniah sebagai aset kepada masyarakat dan syarikat atau majikan.


SENTIASA mengutamakan pengajian walaupun melakukan kerja sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 1:07 PM