PESERTA pusingan akhir berentap sempena Program Gaya Bola Raya Bola.
Fazurawati Che Lah

Dalam mengejar 'kegilaan' eSports, Unitar International University (Unitar) mengadakan kejohanan eSports dalam satu program yang dikenali sebagai Gaya Bola, Raya Bola, baru-baru ini.

Seramai 256 peserta berkumpul untuk kejohanan itu dan ia dibuka kepada orang ramai berumur antara 17 hingga 21 tahun.

Muhamad Luqman Haziq Hajiman, penuntut tahun kedua Universiti Malaya (UM), mendapat tempat pertama, Rezaril Keiflin Keifli berada di kedudukan kedua, sementara Mohammad Rasydan Nahor pula memenangi tempat ketiga.

Pemenang eSports menerima hadiah wang tunai bernilai RM2,000 untuk tempat ketiga, RM3,000 untuk tempat kedua dan RM5,000 untuk juara. Selain itu, pemenang Luqman sebelum ini memenangi kejuaraan FIFA 18 MESL pada Februari lalu dan memperoleh tempat kedua dalam kejohanan Sukan Cyber Malaysia (MCG) 2018 pada Januari.

“Sekarang saya akan menyertai beberapa kejohanan tempatan sambil menunggu FIFA 19 dikeluarkan pada akhir September tahun ini. Selepas itu, saya akan cuba untuk layak ke Piala Dunia FIFA, iaitu kejohanan rasmi yang dihoskan oleh pemaju permainan, EA Sports.

“Saya hanya menyertai kejohanan semasa cuti semester. Bagaimanapun, saya akan menghabiskan kira-kira dua hingga tiga jam sehari untuk berlatih supaya dapat mengekalkan prestasi,” katanya.


LUQMAN bersama Rezaril (kiri) dan Mohammad Rasydan.

Ketua Pegawai Eksekutif Unitar Puvan Balachandran, berkata pertandingan itu adalah platform untuk mendedahkan mahasiswa kepada persekitaran baru.

“eSports semakin popular. Ini adalah permainan yang paling banyak ditonton selepas bola sepak.

“Penyertaan kejohanan ini membantu siswa membina keyakinan terhadap kebolehan mereka. Ini adalah platform untuk mereka terdedah kepada persekitaran baru.

“Kami mahu meningkatkan pengalaman penuntut, jadi kami memutuskan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia eSports dengan kerjasama Gamesbond,” katanya.

Kempen Gaya Bola, Raya Bola dilancarkan sejajar dengan acara sukan terbesar di dunia, Piala Dunia dan sambutan hari raya.

Malah kempen itu dimulakan pada Mei dengan pertandingan Gaya Bola, Raya Bola Instagram apabila pelajar berpeluang untuk memenangi 10 replika penyokong pasukan kegemaran mereka.

Dalam kerancakan itu, UNITAR membina satu gelanggang futsal baru dikenali UNISTAR Futsal Arena yang akan dirasmikan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 12:54 PM