PESERTA dan orang kampung Pos Simpor di surau yang baru dibaiki.
Hafiz Ithnin

Mengembara sambil beramal mungkin sudah sinonim dengan kumpulan pemandu pacuan empat roda, Malaysian Mountaineer Four Wheeler (MM4W) yang pernah dipaparkan Nuansa sebelum ini berkenaan aktiviti mereka menerokai kawasan pedalaman untuk bertemu penduduk Orang Asli di pelbagai lokasi di negara ini.

Matlamatnya hanya satu iaitu melakukan misi kemanusiaan kepada masyarakat Orang Asli yang memerlukan pelbagai bantuan seperti pemeriksaan kesihatan dan barangan keperluan harian terutama bagi penduduk kampung yang jauh tinggal di pedalaman.

Bermula dengan aktiviti itu, sekumpulan peserta MM4W mengambil langkah untuk lebih serius mengadakan kerja amal sambil mengembara dengan menubuhkan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Kelab Dakwah Surau Pinggiran (Dasupi).

Mempunyai matlamat membantu menyampai dan mengadakan aktiviti dakwah secara tersusun membabitkan Perkampungan Pos Simpor, Gua Musang yang mempunyai 34 keluarga dengan 15 adalah penduduk beragama Islam berketurunan Temiar.

Presiden Dasupi Nor Azdee Mohamad berkata, Pos Simpoh yang mengambil masa empat jam perjalanan memandu menggunakan pacuan empat roda dari jalan utama adalah projek pertama kelabnya bagi membangunkan kemudahan surau dan mengadakan aktiviti keagamaan yang lebih tersusun.

Beliau berkata, di Pos Simpor mempunyai sebuah surau lama yang dalam keadaan usang kini dibaik pulih secara berperingkat untuk membantu penduduk setempat menunaikan ibadah dengan lebih selesa.

“Kami mula masuk ke kawasan ini bagi kerja menarik taraf surau sejak Mac lalu dan kini keadaannya semakin baik dengan adanya tempat mengambil wuduk serta tandas kerana sebelum ini serba kekurangan.

“Kami juga mendapat maklum balas positif daripada beberapa entiti korporat yang ingin membantu dari segi dana untuk bersama-sama menaik taraf kemudahan surau dan menyokong aktiviti keagamaan dalam kalangan penduduk kampung secara berterusan,” katanya.


PESERTA beramah mesra sambil mengagihkan makanan kepada masyarakat tempatan.

Baru-baru ini, sempena sambutan Aidilfitri, Dasupi bersama tiga kelab pacuan empat roda tempatan menganjurkan sambutan hari raya di Pos Simpor dan melakukan aktiviti sukarelawan kepada penduduk setempat.

Lebih menarik, aktiviti itu yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu penuh dengan pelbagai pengisian seperti membantu penduduk kampung menguruskan sistem perairan di rumah dan penganjuran kelas agama di surau.

Nor Azdee berkata, kanak-kanak antara yang dapat mempelajari cara mengambil wuduk dan mengikuti kelas Iqra daripada sukarelawan terbabit dalam program berkenaan.

Katanya, acara sambutan hari raya itu semakin meriah apabila semua peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti diadakan seperti bergotong royong menyediakan makanan untuk jamuan dan menyediakan kemudahan logistik.

“Kami berharap dapat meneruskan program seperti ini secara berterusan dan ada pihak yang sudi menyumbang selain bercadang menyediakan ilmuan agama seperti ustaz untuk mengadakan pelbagai kelas keagamaan kepada penduduk setempat.

“Aktiviti dakwah seperti ini perlu dilakukan secara berterusan dan memerlukan banyak pihak menyokong terutama dari segi kewangan kerana kita tidak mahu surau dalam proses dibaik pulih ini akhirnya kembali usang dan rosak kembali,” katanya.

Ditanya berkenaan kepuasan mengembara sambil beramal, katanya, perkara itu lebih bermakna. Hasilnya jelas dapat dilihat dari sebuah kumpulan pemandu pacuan empat roda yang gemarkan aktiviti memandu di kawasan mencabar kini serius untuk membantu penduduk tinggal di kawasan pedalaman dengan tertubuhnya Dasupi.

Setakat ini, kelab itu yang berdaftar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mempunyai sekitar 20 ahli dan mendapat sokongan daripada rakan penggiat aktiviti luar terutama pemandu kenderaan pacuan empat roda di Malaysia.


PELBAGAI juadah disediakan ketika sambutan Aidilfitri bersama penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 12:56 PM