CHIO (kiri) ceria karyanya diiktiraf panel World's Smallest Masterpiece Schneider Electric.
Nurul Husna Mahmud

Penuntut Pusat Seni dan Rekaan INTI International & College, Chio Pei Leng merangkul hadiah utama berupa wang berjumlah RM3,000 bagi Kategori Bukan Profesional dalam pertandingan World's Smallest Masterpiece anjuran Schneider Electric Malaysia, baru-baru ini.

Bagi kategori profesional pula dimenangi Mohamed Shahril Faisal dari Shahril Faisal Design Studio yang membawa pulang RM10,000 apabila rekaannya mengatasi rekaan dua wakil dari Boon Soon Architect iaitu Teh Boon Soon dan Pearly Lim Pei Li.

Pertandingan berkenaan yang berlangsung sejak Mac lalu itu menerima 1,074 penyertaan bagi kedua-dua kategori dari seluruh Malaysia.

Malah rekaan yang dimenangi bakal dijadikan sebahagian koleksi eksklusif AvatarOn Schneider Electric.

Seramai 10 peserta yang mara peringkat akhir perlu membentangkan idea masing-masing berkenaan rekaan pada penutup suis AvatarOn berukuran standard 85 milimeter (mm) X 85mm.

Choi mengakui tidak menyangka karyanya terpilih daripada ribuan penyertaan dihantar.

“Saya gembira karya saya dipilih panel World’s Smallest Masterpiece. Pada saya ia pencapaian penting kerana memberi keyakinan diri terhadap kerja seni yang saya lakukan. Saya menghargai peluang diberikan dan pengiktirafan bakat menerusi platform sebegini oleh Schneider,” katanya.

MOHAMED Shahril (kiri) dan Chio bersama Pengurus Kanan Pemasaran Schneider Electric Liu Kung Peng.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Runcit Schneider Electric Malaysia Francis Heng berkata, pihaknya berharap dengan penganjuran pertandingan berkenaan dapat menggilap kreativiti terutama dalam kalangan pelajar. Ia juga dilihat menjadi medan untuk mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan penggiat industri terbabit.

“Daripada ribuan penyertaan, memilih 10 karya untuk mara ke pusingan akhir bukanlah tugas mudah buat panel. Ini membuktikan kebanyakan mereka ini mempamerkan kemahiran yang baik, teknik dan lebih penting imaginasi serta kreativiti.

“Semestinya selaku penggiat industri kami gembira dapat menyaksikan bakat baru terutama dalam kalangan pelajar selain hasil yang luar biasa daripada pereka profesional.

“Kami berharap pemenang dan peserta lain terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menghasilkan rekaan berkualiti untuk manfaat pengguna,” katanya turut memaklumkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai ditawarkan mencecah RM22,800 bagi pertandingan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 1:28 PM