LEBIH 200 muzium di Malaysia mampu menerangkan pelbagai cerita terdahulu kepada pengunjung.
Hafiz Ithnin

Dalam era revolusi industri 4.0 ini semestinya pelbagai kemodenan dikecapi negara terutama membabitkan ketamadunan masyarakat yang menjadi nadi penting untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam aspek kemajuan.

Di sebalik perubahan dimensi tamadun masyarakat, pengalaman silam menjadi teladan dan tidak boleh dilupuskan begitu saja kerana ia penting untuk diingati terutama sebagai pengajaran dan pembelajaran khususnya pada generasi muda.

Baru-baru ini, sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2018, penulis bersama rakan media tempatan dibawa Tourism Malaysia untuk melawat lima muzium, dua daripadanya di Melaka dan tiga lagi di Negeri Sembilan.

Ternyata mengunjungi muzium di Malaysia bukanlah sesuatu yang membosankan. Meskipun jiwa penulis dan sesetengah pembaca lebih terarah kepada aktiviti lasak seperti mendaki, berada di muzium mampu memberi perspektif berbeza ketika mengembara.

Apatah lagi, kepelbagaian konsep di lebih 200 muzium di Malaysia mampu menerangkan pelbagai cerita terdahulu kepada pengunjung berkenaan elemen yang membentuk Malaysia pada hari ini.

Mengikut jadual yang sudah disusun pihak penganjur, Muzium Adat di Jelebu menjadi destinasi pertama kami.

Sebaik tiba di muzium berkenaan kelihatan arca tengkolok besar terbina kukuh di atas bumbung yang menonjolkan keunikannya sebagai muzium adat.

Muzium itu yang mula beroperasi sejak 2008 itu mempunyai empat tingkat apabila tiga tingkat bawah dijadikan ruang pameran pelbagai adat yang terdapat di Malaysia.


PAMERAN diorama mampu menarik perhatian pengunjung untuk lebih memahami sejarah.

Lebih ditonjolkan adalah perihal adat masyarakat Melayu terutama Adat Perpatih, adat India dan Cina, adat dari beberapa kaum dari Sabah serta Sarawak.

Malah pengunjung juga berpeluang menimba pengetahuan berkenaan Adat Perpatih dalam kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan itu sendiri menerusi paparan di muzium itu termasuk tradisi perkahwinan dan kematian.

Secara keseluruhannya pameran agak menarik dan penceritaan fakta juga jelas boleh difahami. Cuma beberapa kemudahan seperti pendingin hawa dan pencahayaan perlu diperbaiki memandangkan di aras dua khasnya keadaan agak gelap.


PERHIASAN kepala untuk wanita di Johor yang masih kemas dijaga untuk tontonan orang ramai.

Seterusnya kumpulan media juga dibawa ke Muzium Lukut di Port Dickson yang memaparkan informasi menarik berkenaan Kota Lukut dan sejarah penceritaan era perlombongan bijih timah di negara ini.

Muzium itu memaparkan sejarah Lukut bermula daripada awal kurun ke-19 Masihi hinggalah Lukut dimasukkan ke dalam Daerah Sungai Ujung pada 1880.

Terdapat empat galeri utama iaitu Galeri Sejarah Lukut, Galeri Nassau, Galeri Negeri Sembilan Negeri Beradat dan Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional.


MERIAM lama di Muzium Lukut.

Pelbagai koleksi dan bahan pameran yang berkaitan dengan sejarah kegemilangan Lukut ‘dijelmakan’ kembali dalam bentuk ilustrasi, gambar, artifak dan sebagainya tatapan pengunjung. Pastinya sejarah kegemilangan Lukut akan terus diingati dan dikenang dalam sejarah negara.

Ia dibuka pada 1999 dan dibina sebagai satu tanggungjawab menyebarkan maklumat sejarah serta budaya di Negeri Sembilan sebagai tatapan masyarakat tempatan, pelajar, penyelidik sejarah dan pelancong asing.


MALAYSIA mempunyai kepelbagaian seni kraf yang menjadi warisan bernilai untuk masyarakat setempat dan asing.

Di Melaka, destinasi wajib untuk dikunjungi apabila menyebut berkenaan muzium adalah Muzium Kesultanan Melayu Melaka yang terletak di Bandar Hilir.

Setibanya kami di situ, Replika Istana Sultan Mansur Shah yang menempatkan pelbagai sejarah kegemilangan Melaka dan pahlawan tersohor, Hang Tuah antara perkara pertama menarik perhatian kami. Persembahan silat dan alat muzik tradisional dimainkan ketika menyambut kunjungan kami.


PERSEMBAHAN yang sesuai dengan konsep muzium mampu menarik perhatian pengunjung.

Muzium itu yang dibuka sejak 1986 sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri dalam memikat pelancong dalam dan luar negara. Ini kerana ia masih mengekalkan konsep diorama dalam menceritakan sejarah Melaka kepada pengunjung.

Paling menarik sudah tentu di bahagian balairong yang menempatkan aktor pegun lengkap berpakaian tradisional seolah-olah sedang berbincang dengan sultan.

Difahamkan muzium ini mampu menarik kehadiran 300,000 pengunjung setahun walaupun ia tidak mempunyai persembahan bercirikan teknologi terkini seperti hologram. Secara peribadi, sebenarnya penceritaan sejarah kegemilangan Melaka dan replika artifak itu sendiri sudah cukup memukau kehadiran pelancong.


KOLEKSI barangan kemas wanita yang mempunyai nilai tinggi zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Berhampiran muzium itu juga dikelilingi beberapa muzium lain antaranya Muzium Seni Bina. Walaupun tidak sebesar Muzium Kesultanan Melayu Melaka, seni binanya agak unik kerana menampilkan ciri bangunan lama yang padat dengan pelbagai cerita khususnya sejarah industri pembinaan di Malaysia sejak kurun ke-15.


AKTIVITI pertukangan tradisional yang boleh dilihat di Muzium Seni Bina.

Antara lain yang dapat dilihat di sini adalah peralatan pembinaan lama dan konsep pembinaan kediaman yang ditonjolkan menerusi replika mengikut revolusi zaman di negara ini.

Bagi pelajar, pelancong dalam atau luar negara, muzium ini juga antara destinasi menarik untuk dikunjungi bagi menimba pengetahuan berkenaan dunia pembinaan di Malaysia.

Oleh itu, selitkan kunjungan ke muzium dalam Malaysia sebagai salah satu senarai destinasi unik yang perlu anda kunjungi!


ANTARA alatan pertukangan tradisional yang digunakan dalam seni bina tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 1:48 PM