PROJEK ROL dijangka siap pada Disember 2020.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Lebih 50 peserta yang terdiri daripada pelajar dan masyarakat setempat didedahkan dengan projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) menerusi aktiviti ‘river walk’ sejauh dua kilometer (km) di sepanjang Sungai Klang yang terbabit dengan projek berkenaan.

‘River walk’ antara program Jangkauan Awam ROL (ROLPOP) yang sudah memasuki fasa kelima dilaksanakan Pusat Alam Sekitar Global (GEC) iaitu sebuah pertubuhan alam sekitar bukan kerajaan yang dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.

Turut serta dalam aktiviti berkenaan ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai JPS Malaysia, Md Khairi Selamat dan Koordinator Program Penjagaan Sungai GEC Dr K Kalithasan.

Di Pasar Seni, peserta diberikan maklumat berkenaan ‘kuasa’ teknologi sains dan kejuruteraan dalam kerja pemulihan serta pengindahan sungai.

Peserta juga dikongsikan dengan sebahagian daripada komponen pengindahan sungai seperti ‘penebat boleh lipat, sistem pemintas, kolam biru dan koridor biru.

Md Khairi berkata, lapan sungai terbabit dengan kerja pembersihan seperti Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Kerayong sepanjang 110km yang membabitkan kos RM4.2 bilion.

Beliau berkata, kerja pembersihan ROL kini sudah mencapai 86 peratus dan dijangka siap pada Disember 2020 dengan mencapai Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas 11B.

“Projek ROLPOP diadakan untuk memastikan projek ROL benar-benar berjaya dan mencapai IKA ditetapkan.

“Ini kerana hasil kajian JPS mendapati 80.1 peratus pencemaran Sungai Klang berpunca daripada bahan buangan sisa pembetungan, sisa air daripada kediaman, bengkal dan pasar basah (12.6 peratus), sisa gris, lemak dan minyak masak dari restoran (3.9 peratus) dan sisa perindustrian (3.4 peratus),” katanya kepada Nuansa.


KERJA pembersihan ROL di Sungai Klang sudah 85 peratus.

Menurutnya, tujuan projek ROLPOP bukan saja untuk meningkatkan kesedaran, tetapi membabitkan golongan sasaran bagi mengurangkan pencemaran dan membaiki status kualiti air Sungai Klang termasuk meningkatkan persekitaran sungai.

“Kumpulan sasaran untuk ROLPOP adalah orang awam, komuniti tempatan, pengendali makanan, penjaja, bengkel, pasar basah, perindustrian, korporat, pemaju dan institusi pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Dr K Kalithasan yang juga kordinator program Penjagaan Sungai GEC menyeru orang ramai supaya memuat turun aplikasi mudah alih ROL Citizen’s Eye dalam telefon bimbit masing-masing.

“Aplikasi ini baru diperkenalkan tiga bulan lalu bagi membolehkan orang ramai menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan kejadian atau aktiviti berkaitan sungai termasuk masalah pencemaran secara terus kepada pihak berkepentingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 1:24 PM