YATIMAH menunjukkan dokumen asal Pemasyhuran Kemerdekaan Negara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Tujuh kali perkataan keramat itu dilaungkan Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ketika upacara Pemasyhuran Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.

Laungan itu juga menandakan berakhirnya penjajahan British ke atas Tanah Melayu yang disaksikan lebih 20,000 rakyat termasuk Raja-Raja Melayu dan tetamu kehormat dari luar negara.

Meskipun peristiwa bersejarah itu sudah 61 tahun berlalu, laungannya pasti bergema kembali di seluruh negara pada penghujung Ogos saban tahun kerana sambutan hari istimewa berkenaan.

Di sebalik semua itu ramai tidak mengetahui terdapat satu surat penting yang dibaca Tunku Abdul Rahman sebelum melaungkan kalimah keramat terbabit iaitu Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan.

Dokumen eksklusif itu kini disimpan di dalam bilik kebal Arkib Negara kerana ia adalah sijil kelahiran Tanah Melayu yang sangat berharga.


DOKUMEN Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Kesudian pihak Arkib Negara untuk menunjukkan Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan yang asal kepada penulis dan jurugambar umpama rezeki tidak dijangka kerana bukan sembarangan orang boleh melihatnya secara langsung.

Antara orang kenamaan yang pernah melihat dokumen berkenaan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembangan Arkib Negara Yatimah Rimun berkata, dokumen itu dibuat pada 1957 untuk perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.

“Antara perkara penting terkandung dalam dokumen ini ialah semua negeri Melayu termasuk Melaka dan Pulau Pinang akan kekal menjadi negara berdaulat, merdeka serta berpegang kepada prinsip demokrasi.

“Selain itu, Tunku dilantik menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, terdapat dua versi dokumen itu yakni dalam bahasa Inggeris dan Melayu bertulisan Jawi yang disimpan rapi di Arkib Negara untuk dijadikan bahan rujukan generasi akan datang.


SALINAN asal doa ketika upacara kemerdekaan negara 1957.

“Dokumen ini berukuran 51 sentimeter (sm) x 74sm diperbuat daripada kulit kambing kerana ia lebih tahan lama.

“Saya difahamkan, dokumen ini ditulis tangan oleh seorang lelaki yang berasal dari Kelantan,“ katanya.

Jelasnya, menyimpan dokumen penting itu bukan mudah kerana ia berisiko mengalami kerosakan sekiranya tidak diuruskan dengan betul.

Bagaimanapun, katanya, pihak arkib mengambil tindakan proaktif dengan membuat pemuliharaan dokumen berkenaan menerusi proses pengkapsulan bagi memanjangkan jangka hayat dokumen itu.

“Proses ini (pengkapsulan) membuatkan dokumen itu mampu bertahan hingga 100 tahun. Malah dokumen ini diletakkan di dalam bekas khas yang diperbuat daripada perak sebagai penjagaan rapi.

“Pemakaian sarung tangan penting jika menyentuh dokumen ini. Ini kerana dikhuatiri peluh pada tangan boleh menjejaskan kualitinya,” katanya.


ANTARA bahan sejarah yang dipamerkan di Dewan Pameran Eksklusif Arkib Negara.

Selain itu beliau berkata, terdapat lebih 6,000 dokumen berkaitan kemerdekaan tersimpan di Arkib Negara dalam pelbagai bentuk dengan lebih 4,000 daripadanya sudah ditukar kepada digital sebagai salinan kedua dan pemuliharaan.

“Dokumen Pemasyhuran Negara antara projek terawal yang dibuat pertukaran maklumat kepada digital sekitar awal 2000.

“Ini kerana kepentingannya (dokumen) dalam membuktikan negara ini sudah merdeka selain sebagai pengumuman detik bersejarah Tanah Melayu,” katanya.

Yatimah menambah, ada tiga lokasi berkaitan kemerdekaan yang boleh dilawati di negara ini iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan (Bandar Hilir, Melaka) dan Rumah Merdeka (Alor Setar, Kedah).


LIPUTAN akhbar sambutan hari kemerdekaan negara.

Beliau berkata, Memorial Tunku Abdul Rahman dibina pada 1992 di Jalan Dato Onn bertujuan mempamerkan semua warisan berkaitan Tunku yang terdiri daripada dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar, pakaian, perabot dan kenderaan.

“Memorial ini merangkumi tiga bangunan penting iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama dan dua bangunan baru di kiri serta kanan bangunan Residensi.

“Antara yang menarik dan perlu dilihat di memorial berkenaan ialah ‘bush jacket’ Tunku yang dipakai ketika upacara pengisytiharan Malaysia pada 16 September di Stadium Merdeka,” katanya.

Katanya, keputusan kerajaan menubuhkan memorial itu sangat tepat bagi mengenang jasa, sumbangan dan peranannya sebagai ketua negara yang pertama hingga digelar Bapa Kemerdekaan.


YATIMAH menunjukkan gambar Tunku melaungkan 'merdeka'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 12:53 PM